KUALA LUMPUR, 10 Ogos – Seniwati Negara, Rozita Rohaizad, yang memulakan kerjaya nyanyian pada awal 1980-an dan dikenali melalui lagu berentak keroncong, tradisional serta balada, masih aktif hingga kini.
Sebagai penggiat seni yang konsisten mengangkat warisan muzik Melayu, Rozita kerap mewakili Malaysia di pelbagai festival muzik antarabangsa, termasuk di Indonesia.
Dengan dedikasi dan pengalaman melebihi empat dekad, beliau kekal menjadi ikon seni suara tanah air yang berpengaruh dalam memartabatkan muzik tradisional ke peringkat global.
Baru-baru ini, Rozita tampil dalam persembahan Solo Keroncong Festival 2025 pada Julai lalu bersama kumpulan ORKAMS, yang dianggotai pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
Kolaborasi tersebut dilihat sebagai usaha memperkasakan muzik keroncong dalam kalangan generasi muda.
"Semasa pertama kali diberitahu bahawa saya akan menyanyi bersama mereka, saya agak terkejut kerana mereka semua masih pelajar berusia antara 13 hingga 17 tahun.
"Selalunya di Indonesia, saya diiringi kumpulan pemuzik tempatan di sana, dan saya memang suka cara itu kerana dapat berkawan dengan pemuzik setempat.
"Namun, apabila difikirkan semula, persembahan kali ini terasa lengkap kerana saya turut berkolaborasi dengan wakil dari Malaysia sendiri," katanya kepada pemberita RTM di sini.
Bagi memperkukuh perjalanan seninya, Rozita berhasrat menghasilkan beberapa lagu baharu yang segar.
"Saya ingin membawakan keroncong dengan sentuhan pop dan kontemporari, termasuk unsur jazz keroncong yang menjadi kegemaran saya.
"Saya juga menggemari karya dan gaya rentak Mus Mujiono, malah pernah bertemu beliau untuk berbincang mengenai projek lagu, namun beliau terikat dengan syarikat rakaman.
"Selain Pak Noor Qadar, saya juga akan mendapatkan karya daripada pemuzik dan penggubah lain, termasuk dari Malaysia dan Singapura.
"Sasaran saya adalah memiliki empat lagu keroncong. Buat masa ini, saya hanya ada "Keroncong Anak Ikan", dan "Malaysia Ku Sayang" akan diubah menjadi versi keroncong.
"Saya kini, saya mencari dua lagi lagu baharu untuk melengkapkan koleksi tersebut," katanya
Ketika ditanya pemberita RTM mengenai aktiviti selanjutnya, Rozita mendedahkan bahawa beliau akan mengadakan persembahan bersama kumpulan pemuzik di acara Mela One World Festival di Scotland pada September depan.
"Untuk persembahan di Mela One World Festival ini, saya akan membawakan lagu-lagu irama Melayu seperti "Zapin Rinduan Kasih", "Joget Malam Pertama", "Joget Budaya", serta lagu "Keroncong Anak Ikan".
"Semua lagu ini akan diubah suai kerana diiringi pemuzik Scotland yang menggunakan instrumen tradisional mereka seperti 'fiddle', 'harp', 'accordion', 'flute', 'bagpipe' dan lain-lain lagi.
"Saya sendiri belum dapat membayangkan bagaimana bunyinya apabila lagu-lagu saya digabungkan dengan instrumen muzik tradisional Scotland ini, tetapi saya sangat teruja.
"Saya yakin hasil gabungan ini akan menghasilkan sesuatu yang istimewa, harap-harap ia akan kedengaran sedap seperti yang saya bayangkan," ujarnya lagi.