KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Penyanyi dan penulis lirik, Bunga, mencatat satu lagi pencapaian dalam karier seninya dengan pelancaran album penuh berjudul "Seharum Nama", yang menghimpunkan 10 buah lagu.
Dilancarkan secara rasmi pada 8 Ogos 2025 di semua platform digital, album itu dianggap sebagai refleksi serta transisi perjalanan seninya sejak 2019, sekali gus menggambarkan perkembangan identiti muzik dan kematangan Bunga sebagai anak seni tanah air.
“Alhamdulillah, akhirnya kerja keras dan penat lelah terbayar dengan kelahiran album pertama saya. “Seharum Nama" bukan sekadar tanda mata tetapi sebenarnya adalah manifestasi saya terhadap muzik.
“Apa yang dipersembahkan di dalam album ini adalah perasaan, perjalanan dan jiwa yang tulus. Semuanya dilakukan secara cermat, pilihan karya dibuat juga secara hati-hati agar memuaskan hati semua pendengar,” katanya.
Bersempena pelancaran album, Bunga turut mempertaruhkan single baharu "Tak Tidur Malam" di bawah Warner Music Malaysia sebagai langkah memperkukuh kedudukannya dalam industri muzik.
Tambahnya, Tak Tidur Malam, hasil ciptaan Amzar Razqa, Bunga dan Amsyar Razqa, merupakan sebuah karya yang melalui pelbagai proses pertukaran susunan muzik bagi mencapai kehendak dan cita rasa kreatif mereka.
Setelah melalui beberapa fasa penyesuaian, lagu itu akhirnya dipersembahkan dengan sentuhan “vibe spooky” dan elemen seram bagi memberikan kelainan serta menyuntik nafas segar dalam karya tersebut.
Selain "Tak Tidur Malam", lagu lain yang terkandung di dalam album berkenaan terdiri daripada "Buai", "Jatuh", "Dengarkanlah", "Intan Payung" (feat Noraniza Idris), "Apadehal" (2025 Mix), "Jiwa Raga", "ME[MAHA]MI", "Nak Buat Cane?" dan "Jalan Keluar".
Jelasnya, apa yang dipersembahkan kali ini menyerlahkan kematangan dirinya dalam berkarya dengan pemilihan genre muzik yang pelbagai.
“Tidak mudah sebenarnya mahu mengisi 10 buah lagu ke dalam sebuah album. Pilihan yang ada terlalu banyak sehinggakan memberikan sedikit kesukaran kepada saya untuk melakukannya.
“Sejujurnya saya berpuas hati dengan pemilihan lagu-lagu ini dan berharap peminat juga puas mendengarnya,” tambahnya.
Bunga mengakui minatnya bereksperimen dalam muzik membuka peluang kepada pelbagai pengalaman baharu, sekali gus memperkayakan karya seni dan memberi dimensi segar kepada pasukan produksinya.