fb fb fb fb fb

Istimewa Merdeka: “Angin” perjuangan memartabatkan seni tradisional Mek Mulung

(Pelakon Hairi dan Nadiya dalam Angin)

KUALA LUMPUR, 29 Ogos –Dalam zaman moden ini tidak ramai yang sanggup berkorban demi mempertahankan warisan budaya, apatah lagi ia amanat arwah ayah, sehingga tercetus konflik antara dua beradik, Khabir dan Sufiah.

Mereka dilahirkan dalam keluarga pengamal seni tradisional Mek Mulung, di sebuah kampung bernama Wang Budi. Ayah mereka bernama Pak Saad adalah pengasas gerakan seni tradisional Mek Mulung, Seri Mayang.

Sebelum Pak Saad meninggal dunia, mereka telah diamanahkan supaya meneruskan amalan tradisi keluarga. Bagaimanapun, konflik bermula apabila kedua-dua beradik itu gagal mencapai kata sepakat dek kerana fahaman dan ideologi berbeza mengenai hala tuju seni persembahan tradisional itu.

Keadaan bertambah buruk apabila Sufiah mahu mengetengahkan bangsa lain masuk menyertai Seri Mayang membuatkan Khabir yang mempunyai pendirian konservatif bertambah berang.

Di satu sisi lain, Khabir pula menggadaikan tanah pusaka tempat Mek Mulung di Wang Budi bertapak menyebabkan kumpulan Seri Mayang berisiko kehilangan tempat. 


(Telefilem Angin akan disiarkan di TV1 pada 2 September 2023, pukul 9.00 malam)

Perseteruan antara dua beradik itu kemudiannya menyebabkan kumpulan Seri Mayang berpecah sekali gus menjejaskan masa depan seni dan budaya Mek Mulung di Wang Budi. 

Bagaimanakah kesudahannya? Adakah Khabir dan Sufiah bersatu semula demi menunaikan amanah arwah ayah mereka mempertahankan warisan keluarga? Kisah lanjut anda boleh saksikan telefilem berjudul “Angin” sempena Hari Kebangsaan ke-66 ini.

Dibintangi pelakon utama Hairi Safwan, Nadiya Nisaa, Hasnul Rahmat, Taufiq Hanafi, dan Amanda Tan, naskhah oleh Azrie Izham Hamzah dan arahan Danny Alamsyah akan bersiaran pada 2 September ini, pukul 9.00 malam di TV1 atau strim melalui RTMklik di www.rtmklik.rtm.gov.my

Angin turut menampilkan barisan korus, Artis Budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN), pemuzik daripada Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Kedah (AKRAB) serta tokoh-tokoh penggiat seni Mek Mulug kumpulan Seri Mahawangsa.


(Antara babak dalam Angin)

Media Baharu