fb fb fb fb fb

Ireland ancam tarik diri jika Israel dibenar sertai Eurovision

FOTO REUTERS

DUBLIN, 12 September - Ireland mengumumkan tidak akan mengambil bahagian dalam pertandingan lagu Eurovision tahun depan sekiranya Israel dibenarkan menyertai, kata penyiar negara itu, RTE, pada Khamis.

RTE menyifatkan penyertaan tersebut sebagai sesuatu yang tidak berperikemanusiaan memandangkan konflik di Gaza yang telah meragut lebih 64,000 nyawa sejak Oktober 2023.

“RTE merasakan penyertaan Ireland adalah tidak wajar dengan mengambil kira kehilangan nyawa yang berterusan dan amat mengerikan di Gaza,” menurut kenyataan rasmi.

Pertandingan Eurovision sebelum ini turut dibayangi bantahan terhadap penyertaan Israel susulan serangan ketenteraan berterusan di Gaza.

Kesatuan Penyiaran Eropah (EBU) yang menganjurkan pertandingan itu berkata pihaknya masih berunding dengan semua ahli bagi menguruskan isu penyertaan dan ketegangan geopolitik.

Pengarah EBU, Martin Green, menegaskan keputusan akhir akan dibuat sebelum pertengahan Disember dan setiap negara anggota berhak menentukan penyertaan mereka.

RTE turut menyuarakan kebimbangan berhubung pembunuhan wartawan di Gaza, halangan akses wartawan antarabangsa ke wilayah itu, serta nasib baki tebusan yang masih ditahan.

Ireland, yang menyertai Eurovision sejak 1965, telah meraih tujuh kemenangan rekod yang setara dengan Sweden.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE