fb fb fb fb fb

Hosoda pilih tema kemaafan sebagai intipati filem terbaharu “Scarlet”

Pengarah filem animasi Jepun, Mamoru Hosoda tampil dengan filem terbaharu / Foto REUTERS

TORONTO, 12 September – Pengarah Jepun yang pernah dicalonkan Oscar, Mamoru Hosoda tampil dengan filem animasi terbaharunya, “Scarlet”, yang sarat dengan mesej positif iaitu kemaafan.

“Scarlet” ditayangkan di Festival Filem Antarabangsa Toronto pada Rabu, selepas tayangan perdana dunia di Venice awal bulan ini.

Filem berkenaan berkisar tentang puteri Scarlet yang berusaha membalas dendam terhadap kematian ayahanya yang dibunuh oleh bapa saudaranya.

Namun dalam perjalanannya, Scarlet berdepan persoalan sama ada dia mampu keluar daripada kitaran kebencian dan menemukan tujuan hidup sebenar.

“Saya tertanya-tanya bagaimana Hamlet akan berjuang, jika roh itu memintanya untuk memaafkan (bukan membalas dendam).

"Dari situlah arah cerita ini bermula,” kata Hosoda melalui penterjemah ketika sesi soal jawab selepas tayangan perdana Amerika Utara di Toronto.

“Saya tidak dapat berhenti memikirkan bagaimana manusia mampu menghentikan kitaran dendam", ujarnya.

Dalam filem itu, beberapa babak kelihatan sangat realistik, malah ada kalanya seakan menyeramkan, hasil kemahiran Hosoda menggabungkan animasi lukisan tangan tradisional dengan grafik komputer.

Namun, beliau mengakui cabaran terbesar adalah mencari ekspresi visual terbaik untuk menyokong jalan cerita.

“Saya terus mencari pendekatan terbaik sepanjang produksi, tetapi saya masih tidak tahu apakah jawapan yang betul,” katanya.

Hosoda terkenal di peringkat antarabangsa menerusi filem fantasi pengembaraan animasi “Mirai”, yang pernah dicalonkan untuk Anugerah Akademi bagi Filem Animasi Terbaik pada 2019. Ia merupakan kali pertama sebuah animasi Jepun yang bukan keluaran Studio Ghibli menerima pengiktirafan sedemikian.

Studio Ghibli, yang diasaskan oleh Hayao Miyazaki, telah dua kali memenangi Oscar melalui “Spirited Away” (2003) dan “The Boy and the Heron” (2024).

“Scarlet” dijadualkan tayangan perdana di Jepun pada 21 November, sebelum dilancarkan di Amerika Utara pada 12 Disember. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD