fb fb fb fb fb

KHADAM, filem seram baharu gandingan Remy Ishak, Aghniny Haque

KHADAM dijadual memulakan penggambaran pada 16 September ini.

KUALA LUMPUR, 12 September – Filem seram terbaharu berjudul KHADAM bakal menghimpunkan dua bintang ternama, pelakon tersohor Malaysia, Datuk Remy Ishak, dan pelakon popular Indonesia, Aghniny Haque.

Diarahkan oleh Shamyl Othman, filem berlatarbelakangkan era 1950-an itu menjanjikan gabungan kisah mistik Nusantara dengan elemen sinematik yang penuh emosi, sekali gus memperkukuh kedudukan filem seram tempatan di peringkat serantau.

Menurut penulis skrip, Fariza Azlina Isahak, karya tersebut ditulis bagi menggambarkan pengorbanan seorang wanita.

"Saya mahu menulis sesuatu yang menggambarkan pengorbanan seorang wanita , seorang ibu, kakak, atau adik, serta perjuangan yang dilalui dalam kehidupan seharian.

"Saya harap kisah ini bukan sahaja menampilkan elemen seram, tetapi juga lapisan kehidupan seorang wanita.

"Ia juga menuntut pelakon yang berkeupayaan menyelami pelbagai dimensi watak. Saya yakin mereka mampu memberikan hasil yang mengagumkan," katanya dalam sidang media di sini.

Aghniny Haque, yang memegang watak Melor, berkata beliau tidak pernah membawakan watak seperti itu sebelum ini.

"Melor ialah seorang anak, kakak, isteri dan ibu, satu karakter yang belum pernah saya bawakan. Cabarannya besar, daripada segi emosi dan fizikal, namun saya bersemangat untuk menghidupkannya.

"Lebih istimewa, pengalaman bekerjasama di Malaysia ini amat bermakna. Semua menyambut saya dengan mesra, memberi sokongan, dan saya turut belajar tentang budaya serta cara kerja di sini.

"Saya bangga dapat menjadi sebahagian daripada projek ini," katanya.

Sementara itu, Datuk Remy berkata skrip filem berkenaan meninggalkan kesan yang mendalam.

“Banyak filem seram hanya menakutkan penonton, tetapi tidak meninggalkan kesan. KHADAM berbeza kerana penuh dengan emosi.

"Sejak membaca skrip, saya merasai kesan mendalam yang jarang ada dalam filem seram tempatan. Saya percaya ini sebuah kisah seram yang unik.

“Jika kita dapat pasarkan filem ini ke Indonesia, ia akan membuka peluang lebih luas. Penonton Malaysia menonton filem seram Indonesia, begitu juga sebaliknya.

"Saya harap projek ini membuka mata pemain industri untuk lebih serius agar kedua-dua industri filem dapat berkembang bersama," katanya.

KHADAM mengisahkan tentang Melor yang selepas kematian ibunya, mewarisi saka keluarga, pewarisan mistik gelap yang mula menguasai hidupnya.

Melor juga berpacu dengan masa untuk menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi entiti tersebut.

Filem itu dijadualkan memulakan penggambaran pada 16 September ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM