fb fb fb fb fb

Iran haramkan penyiaran siri sejarah terbitan Mesir

Foto www.khaama.com

TEHRAN, 28 April - Pihak berkuasa Iran hari ini telah mengharamkan siri TV Mesir berkaitan tokoh Parsi zaman pertengahan atas faktor penyelewengan sejarah dan pendekatan berat sebelah, lapor media kerajaan.

Siri TV berkenaan, "The Assassins" atau "El-Hashashin" dalam bahasa Arab, mengisahkan tentang Hassan-i Sabbah, salah seorang tokoh kontroversi yang mengasaskan sebuah mazhab Islam Syiah yang terkenal dengan pembunuhan politik berdarah pada abad ke-11.

Siri TV sebanyak 30 episod itu yang berkisar tentang Sabbah dan kumpulan Assassins (pembunuh upahan) yang menjalankan kegiatannya di pergunungan di utara dan barat Iran itu buat pertama kalinya disiarkan semasa bulan Ramadan dan berakhir pada awal bulan ini.

Siri berkenaan mencatatkan populariti di seluruh Asia Barat, namun siaran siri tersebut tidak diluluskan di Iran kata ketua badan kawal selia media audiovisual Tehran, Mehdi Seifi.

"Naratif siri berkenaan tentang sejarah Islam menunjukkan terdapat penyelewengan fakta dan bersifat berat sebelah", ujar Seifi seperti dipetik agensi berita rasmi IRNA.

Sementara itu, IRNA berkata siri itu menunjukkan imej palsu berkaitan rakyat Iran dan berpendapat ia cuba mengaitkan rakyat Iran dengan keganasan.

Agensi berita lain, ISNA pula berkata siri itu adalah "contoh sempurna" terhadap pengubahsuaian dan pemalsuan kebenaran".-AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD