fb fb fb fb fb

Ibu Whitney Houston, Cissy meninggal dunia

Cissy Houston membuat persembahan semasa majlis penghormatan kepada mendiang anak perempuannya, Whitney Houston, di Anugerah BET 2012 di Los Angeles, pada 1 Julai 2012 / FOTO REUTERS

LOS ANGELES, 8 Oktober- Cissy Houston, penyanyi soul dan gospel serta pemenang Grammy yang juga ibu kepada mendiang Whitney Houston, meninggal dunia di rumahnya di New Jersey pada Isnin pada usia 91 tahun.

Menantunya, Pat Houston, berkongsi berita tersebut di Instagram.

"Sangat menyedihkan untuk saya mengumumkan pemergian ratu hati saya yang tercinta, Cissy Houston, hari ini. Tolong doakan keluarga Houston," tulis Pat Houston di samping kolaj gambar penyanyi tersebut.

Penyanyi gospel itu dilahirkan di Newark, New Jersey, dengan nama Emily Drinkard pada 30 September 1933, dan kemudian menggunakan nama profesional Cissy Houston.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai ahli kumpulan gospel yang dipanggil Drinkard Four dan kemudian menjadi ahli pengasas kumpulan R&B, Sweet Inspirations.

Cissy turut menyanyi latar untuk artis lagenda seperti Aretha Franklin, Chaka Khan, Otis Redding dan Dionne Warwick.

Muziknya merentasi sempadan gender dan perkauman serta pernah berkolaborasi dengan Elvis Presley, Bette Midler dan Linda Ronstadt, satu pencapaian luar biasa bagi seorang artis wanita kulit hitam pada masa itu.

Houston memulakan kerjaya solonya pada tahun 1970, memenangi dua Anugerah Grammy untuk muzik gospelnya.

Anak perempuannya, penyanyi Whitney Houston, meninggal dunia di hotel Beverly Hilton pada tahun 2012. Dia ditemui tenggelam dalam tab mandinya oleh pembantu peribadinya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE