KUALA LUMPUR, 17 Jun 2025 – Drama bersiri terbaharu arahan Feroz Kader, Hilang Kasyorga, bakal menemui penonton bermula 23 Jun ini secara eksklusif di Unifi TV, mengetengahkan isu berat seperti pemerdagangan manusia namun disulami elemen aksi dan hiburan.
Diterbitkan oleh Country & Universal Sdn Bhd, drama tersebut dibintangi barisan pelakon hebat tanah air seperti Kamal Adli, Nabila Huda, Adra Mikayla, Azhar Sulaiman, Luqman Hafiz, Ellie Suriaty, Fadilah Mansor dan ramai lagi.
Mengisahkan Kasyorga (Adra Mikayla), seorang anak lorong yang hilang secara misteri ketika bermain bersama rakan-rakannya.
Bapa angkatnya, Pak Bakar (Azhar Sulaiman), kemudian mendapatkan bantuan jiran mereka, Rodi (Kamal Adli), bekas pembunuh upahan, bagi menjejaki kanak-kanak itu.
Dalam masa sama, Rodi turut menerima tugasan baharu, membunuh seorang ahli perniagaan kontroversi, Datuk Zaza (Nabila Huda) yang dikaitkan dengan skandal bersama pembantu peribadinya, Reza (Luqman Hafiz).
Kehilangan Kasyorga mula menimbulkan pelbagai persoalan, adakah dia menjadi mangsa konspirasi politik, sindiket pemerdagangan manusia atau pembunuh bersiri?
Menurut Feroz, kombinasi pelakon muda dan senior memberikan impak tersendiri dengan setiap watak membawa kisah yang berbeza.
“Gabungan pelakon muda dan berpengalaman memberi kekuatan pada jalan cerita. Walaupun menyentuh isu sensitif seperti pemerdagangan manusia, elemen aksi dan hiburan tetap diutamakan,” jelas Feroz.
Pelakon Kamal Adli menyifatkan watak Rodi sebagai mencabar, lebih-lebih lagi kerana banyak babak aksi yang memerlukan penggambaran dilakukan dari malam hingga ke pagi.
“Saya tiada masalah bawa watak pembunuh upahan sebab sebelum ini banyak kali pegang watak sebegitu. Cuma kali ini lebih mencabar kerana dia bantu mencari kanak-kanak hilang,” kata Kamal.
Sementara itu, Azhar Sulaiman turut berkongsi cabaran fizikal sewaktu membawa watak Pak Bakar yang cacat.
“Mula-mula saya anggap main-main saja, tapi selepas tiga minggu, kaki saya betul-betul bengkak setiap kali balik rumah,” ujarnya.
Hilang Kasyorga akan mula ditayangkan pada 23 Jun 2025, eksklusif di Unifi TV.