KUALA LUMPUR, 12 Jun 2025 – Ikon muzik dan fesyen tanah air, Hael Husaini, bakal mencipta sejarah menerusi konsert solo sulungnya berjudul Hael Husaini & Repertoire yang akan berlangsung pada 8 Ogos 2025 di Zepp Kuala Lumpur.
Dianjurkan oleh Rocketfuel Entertainment, konsert berkenaan bakal menjanjikan pengalaman penuh seni, emosi dan estetika fesyen, sejajar dengan reputasi Hael sebagai penyanyi berwibawa dan pencipta lagu tersohor.
Menurut Hael, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik.
“Saya ingin peminat yang hadir bukan hanya mendengar lagu, tetapi merasai perjalanan saya, menyelami emosi saya, dan menyaksikan sisi kreatif saya yang sebenar – dari muzik, visual, hingga ke fesyen,” katanya menerusi kenyataan.
Konsert ini juga akan menampilkan susunan muzik baharu, persembahan visual sinematik, serta segmen fesyen eksklusif yang mencerminkan evolusi estetik Hael.
Selain Hael, konsert turut dimeriahkan oleh barisan artis undangan terkenal termasuk Dayang Nurfaizah, Nadeera, Wany Hasrita dan Nabila Razali.
Penyertaan mereka diumumkan selepas pelbagai bayangan diberikan Hael menerusi media sosial dan rancangan Big Stage Alpha, di mana Hael juga bertindak sebagai juri tetap.
“Saya dan Dayang telah melalui pelbagai fasa dalam kerjaya kami.
"Dia bukan sahaja seorang penyanyi yang saya kagumi, tetapi juga seorang sahabat sejati. Manakala Nadeera pula adalah wajah masa depan muzik Malaysia,” katanya.
Sebagai antara pencipta lagu paling berpengaruh masa kini, Hael mencipta sejarah apabila lagunya Anta Permana nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza telah tersenarai dalam playlist rasmi diraja Britain "The King's Music Room" di Apple Music yang dipilih sendiri oleh King Charles III.
“Apabila saya diberitahu lagu yang saya cipta berada dalam playlist rasmi King Charles, saya terdiam.
"Ia bukan sekadar satu pencapaian peribadi, tetapi satu pengiktirafan buat muzik Malaysia,” katanya.
Hael sebelum ini juga mencipta kejayaan antarabangsa apabila lagu Diam, yang menjadi runut bunyi drama tempatan, memenangi “Best Theme Song” di Asian Academy Creative Awards (AACA) 2024 di Singapura.
Dalam dunia fesyen pula, Hael terus melakar nama apabila dipilih memperagakan jenama mewah antarabangsa seperti Dolce & Gabbana, Zegna, Amiri, Kenzo dan Emporio Armani di pentas Milan dan Paris Fashion Week 2025.
“Saya bukan sekadar ingin dikenali sebagai penyanyi atau komposer, tetapi sebagai penggiat seni Malaysia yang berdiri penuh gaya di mana-mana pentas saya berada,” katanya.
Konsert ini turut mendapat sokongan rasmi daripada stesen radio ERA, Sinar dan Gegar, serta rakan digital rasmi Gempak.
Tiket mula dijual kepada umum bermula 3 Jun 2025, pukul 12 tengah hari menerusi platform ticket2u.com.my.
Maklumat terkini mengenai konsert boleh diikuti melalui saluran rasmi media sosial Hael Husaini dan Rocketfuel Entertainment.