KUALA LUMPUR, 5 Julai– Majlis Makan Malam Amal 30 Tahun anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Islam Al-Amin Keramat (SRIAAK) bakal berlangsung pada 20 Julai ini di Dewan Perkasa, Wisma Perwira ATM, di sini.
Acara itu bakal diserikan dengan persembahan istimewa daripada dua kumpulan nasyid, Hijjaz dan Nowseeheart.
Kehadiran mereka bukan sahaja menyemarakkan suasana majlis, malah dijangka menarik minat para peminat nasyid yang merindui persembahan secara langsung.
Menurut Yang Dipertua PIBG SRIAAK, Kapten (B) MS Affendy Abdul Rani, majlis tersebut merupakan kesinambungan kepada sambutan ulang tahun ke-25 yang telah diadakan lima tahun lalu.
“Tujuan utama kami adalah untuk menjana kutipan dana demi manfaat sekolah dan murid-murid. Ini kali kedua dianjurkan selepas lima tahun, dan sempena 30 tahun, kami sasarkan suasana yang lebih meriah,” katanya kepada RTM.
Beliau turut berkongsi bahawa konsep nasyid dipilih berdasarkan sambutan luar biasa terhadap genre tersebut.
"Idea asalnya saya hanya mahu menjemput kumpulan Hijjaz, tetapi selepas melihat aura konsep nasyid seperti yang dibawa kumpulan Inteam sebelum ini, kami kembangkan acara ini dengan menampilkan lebih ramai artis nasyid.
"Daripada situ tercetus ilham majlis dalam suasana yang lebih segar dan mendekatkan masyarakat," tambahnya.
Wakil Nowseeheart, Azahari Abdul Rahman, turut menyatakan komitmen dan sokongan terhadap acara berkenaan.
"Saya difahamkan tujuan utama majlis ini adalah untuk mengutip dana pembangunan sekolah. Kami berbesar hati dijemput dan sedia menyumbang melalui persembahan," katanya.
Sementara itu, wakil Hijjaz, Syamiel Amir, memaklumkan pihaknya bercadang mengadakan konsert jika segala-galanya berjalan lancar.
"Sebelum ini kami pernah terlibat dalam pelbagai persembahan bersama kumpulan nasyid lain. Untuk kali ini, kami masih menunggu pengesahan penuh daripada pihak penganjur," katanya.
Penganjuran majlis itu bukan sahaja dijangka memberi impak positif terhadap usaha kutipan dana PIBG, malah diharap mampu menyemarakkan kembali minat terhadap irama nasyid yang kekal relevan dalam kalangan masyarakat.