fb fb fb fb fb

Helloween kembali gegar Malaysia dengan konsert ulang tahun ke-40

Legenda metal Jerman, Helloween, bakal kembali menggegarkan peminat tempatan menerusi konsert eksklusif “40 Years Anniversary Tour”, Disember ini / Foto ticketempire.com

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Legenda metal Jerman, Helloween bakal kembali menggegarkan peminat tempatan menerusi konsert eksklusif “40 Years Anniversary Tour” yang dijadual berlangsung pada 8 Disember ini di Zepp Kuala Lumpur.

Kemunculan tersebut menandakan kepulangan semula kumpulan itu selepas persembahan sulung bersejarah mereka di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 28 April 2018, sebahagian daripada jelajah Pumpkins United World Tour.

Ketika itu, penyatuan semula tiga figura ikonik – Michael Kiske, Kai Hansen dan Andi Deris – mencetuskan fenomena dalam arena muzik metal tanah air.

Ditubuhkan pada tahun 1984 di Hamburg, Helloween diiktiraf sebagai pelopor genre power metal yang menjadi rujukan global, dengan lebih 16 album studio, mereka terus memperkukuh legasi muzik yang relevan sehingga kini.

Album terbaru berjudul “Giants & Monsters” bakal dilancarkan pada 29 Ogos ini di bawah label Reigning Phoenix Music.

Album tersebut menampilkan sentuhan segar dan moden hasil kolaborasi penuh tiga vokalis utama kumpulan itu. Single sulung, “This Is Tokyo”, yang dilancar pada 13 Jun lalu, hadir bersama video muzik futuristik berciri sinematik.

Barisan anggota Helloween kini terdiri daripada Michael Kiske (vokalis), Andi Deris (vokal), Kai Hansen (gitar/vokal), Michael Weikath (gitar), Sascha Gerstner (gitar), Markus Grosskopf (bass) dan Daniel Löble (dram).

Kehadiran tiga vokalis dari era berbeza sejak 2017 terus menjadi nadi kejayaan mereka, mewarnai persembahan pentas dengan dimensi unik di seluruh dunia.

Konsert Kuala Lumpur ini merupakan sebahagian daripada persinggahan eksklusif jelajah Asia, termasuk JogjaROCKarta Festival di Indonesia pada 6 Disember 2025, sebelum Helloween meneruskan siri konsert ke Amerika dan Eropah menjelang musim panas 2026.

Tiket konsert berharga antara RM330 hingga RM680, kini boleh didapati melalui www.myticketempire.com

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN