KUALA LUMPUR, 23 Ogos– Dua penyanyi tersohor tanah air, Black Hanifah dan Adira Suhaimi, bergabung dalam lagu duet balada berjudul Memilih Kamu, ciptaan komposer Mas Dewangga dan Jova Devito.
Menurut Black, lagu ini mengangkat kisah persahabatan lelaki dan wanita yang terselit rasa cinta tersembunyi.
“Lagu Memilih Kamu mengisahkan seorang lelaki yang menyimpan perasaan terhadap sahabat wanitanya, namun memilih untuk tidak meluahkan.
"Dia hanya menyokong dari jauh walaupun sedih melihat hubungan wanita itu bermasalah. Menariknya, di penghujung cerita, mereka akhirnya disatukan juga. Alhamdulillah,” jelasnya.
Bagi Adira, lagu ini membawa makna cinta yang tidak kesampaian.
“Walaupun tidak bersama, individu itu tetap mahu menyampaikan rasa sayang dan akan sentiasa ada dari jauh. Itulah mesej yang ingin disampaikan,” katanya.
Dirakam secara berasingan, Adira menyifatkan proses rakaman berjalan lancar walaupun tidak bersama Black di studio.
“Melalui liriknya sahaja sudah boleh merasai emosi lagu ini. Walaupun rakaman dibuat berasingan, 'feel' tetap sampai. Alhamdulillah,” katanya.
Sementara itu, komposer Mas Dewangga mendedahkan lagu ini memang dicipta khusus untuk Black dan Adira.
“Lagu ini merupakan OST sebuah drama. Saya sudah diberikan sinopsis awal, jadi penciptaan memang dirangka sesuai dengan mereka berdua,” katanya.
Memilih Kamu kini boleh distrim di semua platform penstriman muzik utama.