SAKON NAKHON, 3 April- Pelumba Terengganu Polygon Cycling (TSG), Mohd Harrif Saleh berjaya memenangi peringkat ketiga Jelajah Thailand hari ini, sekali gus membuka semula peluang pasukan dari Pantai Timur itu mencabar gelaran keseluruhan perlumbaan berkenaan.
Pada saingan sejauh 117 kilometer yang bermula dari Sakoon Nakhon dan berakhir di tempat yang sama, Harrif menggunakan kelebihannya sebagai pakar pecut di laluan landai pada hujung perlumbaan.
Pelumba berusia 34 tahun itu dicabar hebat pelumba Team Ukyo, Raymond Kreder, namun dia terlebih dahulu berjaya melepasi garisan penamat dengan catatan 2 jam 30 minit 45 saat.
Seorang lagi pelumba Malaysia, Muhammad Elmi Jumari yang beraksi untuk pasukan kebangsaan di tempat ketiga.
Sebelum ini Harrif menduduki tempat kedua pada peringkat pertama Jelajah Thailand.
Peringkat keempat esok menawarkan laluan sejauh 176 kilometer yang akan bermula dari Sakon Nakhon dan tamat di Nakhon Phanom.
Ia sekali lagi membuka peluang buat Harrif untuk mengulangi pencapaian hari ini kerana banyak melibatkan laluan landai dengan tiga zon pecut.
(Mohd Harrif Saleh juara peringkat ketiga Jelajah Thailand)