fb fb fb fb fb

Filem pendek ‘My Foot is in Heaven’ angkat kisah kanak-kanak Gaza

Sekitar penggambaran filem pendek ‘My Foot is in Heaven’ / REUTERS

LOS ANGELES, 9 September - Suasana pilu jelas tergambar apabila pelakon dan pengarah, Iyad Hajjaj, menitiskan air mata sambil mendukung tubuh seorang kanak-kanak lelaki dalam babak filem terbaharunya, My Foot is in Heaven.

Filem pendek itu mengisahkan kehidupan Samar, seorang kanak-kanak berusia sembilan tahun bersama bapanya di sebuah kem pelarian, berinspirasi daripada kisah benar rakyat Palestin.

Hajjaj berkata judul tersebut dipilih bagi melambangkan keikhlasan dan ketulusan seorang anak kecil selepas menemui semula anak patungnya yang kehilangan sebelah kaki.

“Saya dapati ramai kanak-kanak di Palestin mengalami nasib yang sama, apabila kaki atau anggota tubuh mereka terpaksa dipotong,” katanya kepada Reuters.

Beliau menegaskan karya itu bertujuan memberi kesedaran lebih mendalam berbanding laporan berita harian yang sering cepat dilupakan penonton.

Sementara itu, penerbit bersama filem berkenaan, Mabrouka Al Ghanmi, berkata karya sinema mempunyai ruang tersendiri dalam menyentuh hati khalayak.

“Penghayatan terhadap filem berbeza kerana ia kekal relevan sepanjang masa dan di mana sahaja,” jelasnya.

Hajjaj optimis filem itu akan menjadi pemangkin kepada lebih banyak karya antarabangsa mengenai Gaza, sekali gus membuka ruang kepada suara rakyat Palestin di layar perak.

Filem My Foot is in Heaven dijangka dihantar ke festival filem terlebih dahulu sebelum diumumkan tarikh tayangan rasmi.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE