KUALA LUMPUR, 9 September- Penyanyi Amira Othman kembali dengan buah tangan terbaru, Rasa & Takdir, hasil kolaborasi bersama Irfan Haris.
Lagu balada pop moden ini bukan sekadar karya muzik, tetapi membawa mesej tentang doa, perjalanan hidup dan ketentuan Tuhan.
Menurut Amira, lirik lagu berkenaan cukup dekat dengan dirinya.
“Bila dengar lagu ini, saya terus rasa dekat dengan kehidupan sendiri. Sebab tu saya berbesar hati untuk menyanyikan lagu ini.
Kalau kita tengok liriknya, ia bercerita tentang urusan hidup yang kadang-kadang kita persoalkan dari segi masa dan keadaan. Namun akhirnya, semua sudah tertulis oleh Tuhan,” kata Amira.
Menariknya, muzik video Rasa & Takdir turut menampilkan sisi hubungan mereka sebagai adik-beradik yang akrab dan saling menyokong antara satu sama lain.
Irfan yang juga pencipta lagu ini mengakui, pengalaman menghasilkan karya tersebut memberi emosi yang berbeza.
“Sebelum ini saya banyak cipta lagu sedih atau cinta, tapi tak sampai tahap buat saya menangis. Lagu ini lain, sebab ada kakak saya.
Ia memberi perasaan luar biasa. Dari awal dengar pun saya dah rasa senang untuk sebak, itulah keistimewaannya,” ujar Irfan.
Rasa & Takdir kini boleh didengarkan di semua platform digital.