fb fb fb fb fb

FAM kemuka surat rayuan kepada KBS, mohon kehadiran 100% penonton ke stadium

KELANA JAYA, 24 Mac- Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) akan mengemukakan surat rayuan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mendapat kelulusan membenarkan kehadiran penuh penyokong ke stadium pada saingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar menjelaskan rayuan berkenaan dianggap sesuai dengan situasi semasa memandangkan kerajaan akan melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi COVID-19 bermula 1 April ini.

Beliau turut menyatakan ketika ini pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada KBS berkenaan SOP peralihan fasa endemik ini masih belum diperolehi sepenuhnya.

"Kita memang mengharapkan, selepas dua tahun kita tidak ada perlawanan peringkat antarabangsa di Malaysia, kita memang mengharapkan agar kita dapat 100% kehadiran penonton tapi kita masih menunggu sehingga 1 April ini kerana SOP yang sebenarnya masih belum keluar lagi," kata Saifuddin menyatakan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat keempat Jawatankuasa Eksekutif FAM bagi penggal 2021-2025.


(Gambar Fail)

Hadir sama Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram di Wisma FAM, di sini.

Sebagai rekod, Malaysia diberi status selaku tuan rumah bagi Kumpulan E bersama Bahrain, Turkmenistan dan Bangladesh dengan Stadium Nasional Bukit Jalil akan menjadi venue untuk perlawanan itu.

Mengulas lanjut, Saifuddin turut menjelaskan pihaknya peka dengan situasi semasa COVID-19 dan penganjuran kejohanan bola sepak di Malaysia akan kekal menggunakan konsep gelembung sukan.

Media Baharu