KUALA LUMPUR, 9 November- Lagu 'Rindu Hatiku Rindu' dirakamkan semula dengan nafas baru oleh penyanyi yang terkenal dengan lagu balada menyentuh hati Ezad Lazim, 45 tahun.
Pemilik nama sebenar Mohd Rohaizad Mohamad Lazim berkata, ia merupakan penghormatan apabila diberi peluang untuk merakamkan semula lagu berkenaan.
"Peluang merakamkan semula lagu ini adalah satu penghormatan dan saya harap versi ini juga akan mendapat sambutan hebat pendengar seperti versi asal lagu ini.
"Saya merasakan lagu ini sangat istimewa, bukan sahaja buat peminat muzik masa kini tetapi juga sebagai satu bentuk penghargaan terhadap karya seni yang melangkaui zaman," katanya.
Menurut Ezad, rakaman versi baharu ini diharap dapat meluaskan lagi golongan pendengar lagu ini.
"Versi asal lagu Rindu Hatiku Rindu mendapat sambutan hebat ramai pendengar. Saya berharap rakaman semula lagu ini akan dapat melebarkan lagi kelompok pendengar lagu hebat ini.
"Proses rakaman semula lagu ini dilakukan dengan penuh teliti di mana saya bekerja rapat bersama penerbit untuk memastikan elemen asal lagu ini terpelihara. Pada masa sama, susunan muzik diolah sedikit untuk menyesuaikan dengan nyanyian seoang penyanyi dewasa," katanya lagi.
Versi asal lagu itu merupakan ciptaan komposer Eddie Hamid dan lirik oleh Jaju dan Hakim Hakimi nyanyian Tantari.
Ia diterbitkan awal tahun lalu dan berjaya menduduki kedudukan #1 Trending selama 20 hari berturut-turut di YouTube dan kini sudah pun mencapai lebih sembilan juta tontonan.