fb fb fb fb fb

Bintang One Direction ambil kokain, alkohol, dan ubat antikemurungan sebelum kematiannya

Liam Payne / FOTO AFP

BUENOS AIRES, 8 November- Bintang One Direction, Liam Payne, disahkan mengambil kokain, alkohol, dan pil antikemurungan sebelum jatuh dari balkoni hotel di Buenos Aires bulan lalu, menurut pendakwa Argentina pada Khamis.

Pejabat pendakwa turut menyatakan tiga orang telah didakwa atas tuduhan membekalkan dadah kepadanya dan salah seorang daripada mereka juga dikenakan tuduhan mendedahkan mangsa dalam bahaya.

"Keputusan kajian toksikologi yang telah disampaikan kepada keluarganya mendedahkan bahawa, dalam saat-saat sebelum kematiannya dan dalam tempoh sekurang-kurangnya 72 jam terakhir, Payne telah menggunakan pelbagai jenis dadah, termasuk alkohol, kokain dan ubat antikemurungan," menurut kenyataan pihak pendakwa.

Payne ditemui mati pada 16 Oktober selepas jatuh dari balkoni bilik hotelnya di tingkat tiga di Hotel CasaSur, ibu kota Argentina itu.

Bedah siasat mendapati bintang pop itu meninggal dunia akibat "kecederaan trauma berganda" dan "pendarahan dalaman serta luaran" akibat jatuhan tersebut.

One Direction, salah satu kumpulan dengan hasil konsert tertinggi di dunia pada tahun 2010-an, sebelum salah seorang anggotanya keluar secara solo pada 2016.

Selepas itu, Payne juga sempat menikmati sedikit kejayaan solo tetapi kariernya agak merosot baru-baru ini.

Tiga Didakwa Bekalkan Dadah Kepada Payne

Pendakwa memberitahu bahawa salah seorang daripada tiga suspek yang dituduh dalam kes berkenaan telah menemani Payne setiap hari semasa dia berada di Buenos Aires dan dituduh meninggalkannya bersendirian yang kemudiannya meninggal dunia serta membekalkan dadah kepadanya.

Suspek kedua adalah pekerja hotel yang dituduh membekalkan kokain kepada Payne dua kali semasa dia tinggal di CasaSur. Orang ketiga turut didakwa membekalkan dadah kepada mangsa pada 14 Oktober, dua hari sebelum kematiannya.

Pendakwaan menolak unsur kecederaan kendiri atau campur tangan fizikal pihak ketiga sebagai punca kematian Payne, menyatakan bahawa kecederaan yang dialaminya konsisten dengan yang disebabkan oleh jatuhan.

"Payne mungkin tidak sepenuhnya sedar atau berada dalam keadaan kesedaran yang sangat terjejas atau hilang pada waktu jatuh tersebut," menurut laporan itu.

Beliau ditemui mati selepas kakitangan hotel menghubungi perkhidmatan kecemasan untuk melaporkan "tetamu yang sukar dikawal akibat dadah dan alkohol, serta merosakkan biliknya."

Mayat Dibawa Pulang ke Rumah

Laporan toksikologi dikeluarkan sehari selepas ayahnya, Geoff Payne, membawa pulang mayatnya ke Britain melalui penerbangan dari Buenos Aires ke London.

Kematian Payne telah mencetuskan perbincangan tentang sama ada industri muzik mempunyai tanggungjawab dalam menjaga kesihatan mental bintang-bintang yang menempa kemasyhuran pada usia muda.

Penyanyi dari Wolverhampton, England, itu pernah bercakap secara terbuka mengenai perjuangannya melawan ketagihan bahan terlarang dan tekanan kemasyhuran pada usia remaja.

Beliau pertama kali menyertai uji bakat untuk rancangan bakat televisyen popular "The X Factor" pada usia 14 tahun tetapi tidak berjaya.

Dua tahun kemudian, beliau menempa kejayaan di program tersebut apabila digabungkan dengan Niall Horan, Harry Styles, Louis Tomlinson, dan Zayn Malik untuk membentuk One Direction.

Sepanjang enam tahun berikutnya, kumpulan tersebut menikmati kemasyhuran global dan meraih peminat yang ramai, serta menjual lebih daripada 70 juta salinan album. Mereka mengadakan empat jelajah dunia dan memenangi hampir 200 anugerah.

Payne meninggalkan seorang anak lelaki berusia tujuh tahun, Bear, hasil hubungannya dengan bintang Girls Aloud, Cheryl Tweedy.-AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE