KUALA LUMPUR, 7 November – Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) meraikan 30 tahun penubuhannya dengan pementasan teater muzikal epik, 'Sakti Merong Mahawangsa' yang menggabungkan sejarah, seni, dan budaya.
Rektor ASWARA, Dr. Tan Awang Besar, memilih karya ini sebagai simbol usaha ASWARA dalam memperkukuh seni dan warisan tempatan.
Katanya, pementasan kali ini turut menyatukan lebih 100 alumni sebagai tanda penghargaan kepada bakat dan komitmen mereka.
"Teater muzikal ini menggambarkan himpunan naratif sejarah dan budaya yang penting bagi pembangunan seni di Malaysia," katanya pada sidang media baru-baru ini di ibu negara.
Presiden Persatuan Alumni ASWARA merangkap pengarah program, Lefiz Alaudin, menyifatkan pementasan ini sebagai satu cabaran besar.
"Kita kumpulkan alumni dari tahun 1994 untuk menulis naskah baru, memulakan penulisan dari kosong sehingga terhasilnya ‘Sakti Merong Mahawangsa,’" katanya.
Majlis ini menandakan kerjasama erat antara ASWARA dan Persatuan Alumni ASWARA dalam memperkukuh seni budaya Malaysia di peringkat antarabangsa.
Majlis Sidang Media dihadiri oleh Pengurusan Tertinggi ASWARA, pengarah dan pelakon - pelakon Teater Muzikal Sakti Merong Mahawangsa
Dalam pada itu, Pendaftar ASWARA, Amirudin Mad Yusof berkata, sokongan dana daripada Kementerian MOTAC telah membantu usaha ASWARA dalam menaikkan seni negara ke persada dunia.
"Pementasan ini bukan sahaja menampilkan bakat alumni ASWARA, malah menggambarkan aspirasi akademi tersebut untuk terus memartabatkan budaya tempatan," katanya.
Antara pelakon yang terlibat ialah Aris Kadir, Ezdianie Hayatie, dan Najua P. Ramlee.
Teater 'Sakti Merong Mahawangsa' akan dipentaskan di Pentas 1, di Pentas Seni, Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) di sini, pada 22 hingga 24 November ini.