fb fb fb fb fb

Eksklusif dari Jakarta, "Malam Mendengar" Nadin Amizah di Zepp KL malam ini

FOTO INSTAGRAM Nadin Amizah (@cakecaine)

KUALA LUMPUR, 16 Mei- Penyanyi dan penulis lagu dari Indonesia, Nadin Amizah kembali ke Malaysia menerusi persembahan eksklusif "Malam Mendengar" di Zepp Kuala Lumpur, 8.00 malam ini.

Konsert kali ini menampilkan kelainan istimewa apabila buat julung kalinya "Malam Mendengar" dipersembahkan dalam orkestra penuh melibatkan 40 pemuzik dari Jakarta.

Selasa lalu, Nadin dalam sidang media di ibu negara menyifatkan kehadirannya ke Malaysia sebagai pengalaman penuh emosi dan signifikan.

"Setiap kali kembali ke Malaysia, rasanya seperti membawa sesuatu yang besar. Kali ini, "Malam Mendengar" bersama (anjuran) Renjana Idea kembali ke tempat yang sama," katanya yang pernah mengadakan konsert "Selamat Ulang Tahun" di lokasi sama tahun lalu.

Konsert tersebut bakal mempersembahkan lebih 10 buah lagu termasuk karya daripada album "Untuk Dunia Cinta" dan "Kotornya" yang disifatkan lebih matang dan berani dari segi ekspresi seni.

"Saya datang bersama 40 pemuzik orkestra dari Jakarta, dan amat berterima kasih kepada pihak penganjur kerana merealisasikan hasrat besar ini," katanya sambil menzahirkan penghargaan terhadap kerjasama erat dengan pengarah muzik Lasta Pratom bagi menjayakan susunan muzik baharu untuk persembahan tersebut.

Beliau menyifatkan susunan muzik baharu itu sebagai antara yang terbaik dalam diskografinya. "Setiap susunan ini menggambarkan sisi lembut, indah dan menenangkan yang saya ingin kongsi dengan peminat," ujarnya.

Tambah Nadin, beliau berharap "Malam Mendengar" bukan sahaja memberi pengalaman mendalam kepada peminat sedia ada, malah menjadi perkenalan yang bermakna buat penonton baharu.

Dengan penampilan baharu berambut perang serta senarai lagu yang bersifat lebih peribadi, persembahan kali ini dijangka menjadi antara yang paling dinanti peminat muzik alternatif dan indie tanah air.


Nadin Amizah pada sidang media "Malam Mendengar" yang diadakan di Kuala Lumpur, Selasa lalu/RTM

SITI AISHAH MD ISA