KUALA LUMPUR, 16 Mei- Sempena kepengerusian Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerbitkan dokumentari khas bertajuk "Malaysia - Destinasi Kesihatan ASEAN" yang mengupas potensi negara dalam memperkukuh sektor kesihatan serantau.
Dokumentari arahan Azry Ahmad Mustafa Hadi terbitan Unit Majalah dan Dokumentari TV (UMDTV) RTM itu dijadualkan bersiaran pada 23 Mei ini, pukul 9.00 malam menerusi saluran TV1 dan platform RTMKlik di https://rtmklik.rtm.gov.my.
Program itu memfokus kepada kekuatan Malaysia sebagai penyedia perkhidmatan kesihatan yang menawarkan rawatan berkualiti tinggi dengan kos berpatutan serta kemudahan canggih, seterusnya mengangkat ASEAN sebagai destinasi utama pelancongan kesihatan.
Inisiatif ini bukan sahaja menyokong pengukuhan sistem kesihatan dan perubatan serantau, malah berperanan mempercepat kerjasama dalam penyelidikan perubatan serta meningkatkan daya saing industri farmaseutikal dan teknologi kesihatan tempatan.
Justeru, orang ramai dialu-alukan untuk mengikuti dokumentari ini bagi memahami lebih lanjut mengenai sumbangan Malaysia dalam menjadikan ASEAN sebagai hab kesihatan yang progresif dan mampan.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 berlangsung pada 26 dan 27 Mei ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dengan menghimpunkan 10 pemimpin negara anggota blok itu bagi membincangkan isu serantau serta memupuk kerjasama ekonomi selain memperjuangkan prinsip keterangkuman dan kemampanan.