KUALA LUMPUR, 9 September- Rock kembali bernafas di kampus apabila dua nama besar industri muzik tanah air, Edrie Hashim dan kumpulan Candy, bakal menggamatkan Showcase Pistol & Bunga pada 20 September ini.
Persembahan yang akan berlangsung di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu turut menggabungkan pelajar Pengurusan Produksi Muzik ASWARA yang membentuk sebuah kumpulan muzik khas.
Menurut Edrie, showcase berkenaan bukan sekadar hiburan, tetapi medan latihan sebenar untuk pelajar merasai pengalaman bekerja dengan artis profesional.
“Kami nak tunjuk rock bukan hanya muzik, tapi semangat, gaya dan komuniti.
Malam itu, ‘dress up like a rockstar’ memang digalakkan,” kata Edrie.
Candy pula, dengan anggota asal Pat, Nancy, Anis dan Bulan menegaskan, simbolik Bunga membawa mesej penting iaitu melahirkan lebih ramai kumpulan wanita dalam industri.
“Kami nak martabatkan semula muzik rock yang makin tenggelam ditelan arus pop,” kata Nancy.
Penonton bakal disajikan dengan enam hingga lapan lagu daripada setiap artis, termasuk hit popular Wanita Seluruh Dunia, Iris serta lagu-lagu ikonik Candy.
Showcase Pistol & Bunga juga menandakan bermulanya siri jelajah universiti di seluruh negara, dengan ASWARA sebagai lokasi pertama.