fb fb fb fb fb

"Srikandi" cerminan pemerkasaan wanita dalam karya epik RTM

Srikandi membawa mesej besar yang selari dengan tuntutan semasa iaitu memperkasakan peranan wanita dalam naratif utama

DAMANSARA, 8 September - Telefilem cereka khas epik terbaharu terbitan Unit Drama TV RTM, Srikandi, bukan sahaja menampilkan naskhah klasik yang diangkat semula, malah membawa mesej besar yang selari dengan tuntutan semasa iaitu memperkasakan peranan wanita dalam naratif utama.

Menurut pengarahnya, Wan Mohd Afzam Wan Daud, idea dan arah tuju Srikandi dibangunkan berasaskan dasar Kerajaan bagi mengangkat nilai Pemerkasaan Wanita dalam kandungan drama RTM.

“Kita berkreasi berasaskan dasar, dan pihak stakeholder mahukan kita mengangkat agenda woman empowerment. Jadi, Srikandi dijadikan asas untuk meletakkan elemen tersebut,” jelasnya ketika ditemui selepas tayangan perdana telefilem itu di GSC, The Starling, Damansara Utama.

"Syair Siti Zubaidah, sebuah karya agung dalam khazanah kesusasteraan Melayu, dipilih kerana kekuatan wataknya yang memperlihatkan kepimpinan serta ketegasan seorang wanita dalam menghadapi konflik besar, sekali gus selari dengan tema wanita sebagai pemimpin dan pejuang.

“Kita mahukan kelainan daripada RTM untuk program kali ini. Jadi, ini cabaran kepada saya sendiri sebagai pengarah untuk menghasilkan drama epik. Kita memilih Syair Siti Zubaidah kerana ia sendiri sebuah naskhah agung,” katanya.

Namun begitu, beliau mengakui proses menghasilkan karya epik ini bukan sesuatu yang mudah berikutan kekangan masa, gangguan musim perayaan dan bajet.

“Kita hanya diberikan tempoh kurang enam bulan untuk siapkan keseluruhannya. Selain itu, cuti panjang seperti puasa dan raya turut memendekkan masa pra-produksi. Penggambaran hanya berlangsung selama 25 hari, sedangkan karya sebegini biasanya memerlukan lebih 45 hari,” ujarnya.

SRIKANDI KUASA WANITA DIANGKAT1698Pengarah, Wan Mohd Afzam Wan Daud

Pelakon utama, Farali Khan yang membawakan watak Siti Zubaidah, turut mengakui peranan tersebut merupakan cabaran baharu dalam kerjayanya.

“Watak Siti Zubaidah ini dikembalikan ke zaman 60-an. Dari segi bahasa, pembawaan sebagai permaisuri, ditambah pula dengan cabaran emosi seperti mengandung, semuanya baharu bagi saya.

“Saya banyak menyesuaikan diri semasa di set. Bila mengenakan kostum, menghayati dialog dan berada dalam suasana itu, barulah saya benar-benar merasai ‘jiwa’ watak,” katanya.

Bagi Wan Mohd Afzam, mesej utama Srikandi bukan sekadar hiburan, tetapi membawa penonton kembali menghargai warisan budaya dan sastera lama yang semakin dilupakan.

“Harapan saya, penonton dapat menghargai adat budaya dan naskhah lama yang sepatutnya dibaca dan diselidiki. Sambil berhibur, kita juga dapat merasai pengalaman penceritaan yang berbeza daripada kebiasaan,” katanya.

Menerusi Srikandi, RTM sekali lagi membuktikan komitmennya dalam menyajikan drama bermutu tinggi yang bukan sahaja mengangkat nilai budaya, malah selari dengan aspirasi semasa memperkasakan wanita melalui media.

SRIKANDI KUASA WANITA DIANGKAT123Pelakon utama, Farali Khan

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE