fb fb fb fb fb

Dj Dave sumbang RM10,000 kepada lima pertubuhan agama

Penyanyi legenda Datuk DJ Dave atau nama sebenar, Datuk Irwan Shah Abdullah

KUALA LUMPUR, 10 Februari - Penyanyi legenda, DJ Dave menyumbang wang tunai RM10,000 kepada lima pertubuhan keagamaan yang diterimanya menerusi Anugerah Khas Perpaduan daripada Rotary Club Ara Damansara (RCAD).

Datuk DJ Dave atau nama sebenar, Datuk Irwan Shah Abdullah, menerima Anugerah Khas Perpaduan daripada RCAD melalui sumbangan beliau dalam projek lagu patriotik berjudul Setia Perpaduan yang diilhamkan mantan Yang di-Pertuan Agong Ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, tahun lalu.

Lima pertubuhan agama yang menerima sumbangan darinya adalah Surau An-Nur, Bandar Menjalara, Canossa Convent Welfare Centre, Jinjang Utara, Choong Wan Koong Temple, Pudu, Persatuan Pengurusan Kuil Subramania Swami, Shah Alam, dan Gurdwara Sahib Selayang, Selangor.

Setiap daripada organisasi terbabit mendapat RM2,000.

"Saya berharap saya dapat memberi inspirasi kepada orang lain untuk menjalani kehidupan muhibah sebagai rakyat Malaysia sejati," katanya pada majlis makan malam ketujuh pertubuhan itu pada 20 Januari lalu.

Presiden RCAD, David Cheah Yik Qin menyifatkan tindakan penyanyi legenda itu perbuatan yang murni kerana memilih mengagihkan hadiah kemenangan kepada pengurusan surau, badan amal kendalian gereja, kuil Buddha dan Hindu serta gurdhwara Sikh.

DJ Dave turut dikejutkan dengan hadiah lebih bernilai daripada penaja acara dengan pakej kesihatan jantung bernilai RM20,888.00 selama setahun.

GRACE AISYAH KEDAYAN