(Foto FB Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin)
KUALA LUMPUR, 15 Ogos -Tidak ramai yang tahu apatah lagi mengenali stadium bola sepak yang ada di seluruh negara, meskipun anda mungkin peminat sukan bola sepak tanah air. Misalnya, apakah nama stadium terbesar di Pantai Timur atau stadium tertua negara?
Ingin mengetahui sejarah yang kadang kala kita terlepas pandang, jom bersama pengacara Tunku Hanis yang akan membawa anda menjelajah ke stadium-stadium kebanggaan di setiap negeri.
Menerusi rancangan “Di Sebalik Sepak Mula” anda boleh mengetahui dengan lebih lanjut mengenai sejarah pembinaan, fungsi dan fasiliti stadium bola sepak terpilih di seluruh negara bersama tetamu jemputan yang akan berkongsi pelbagai maklumat dan pengalaman berkaitan stadium yang diketengahkan.
Misalnya, di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, stadium utama pasukan Terengganu FC, penonton boleh mengetahui bagaimana rumput jenis bermuda dijaga dan diselenggara bagi memastikan stadium boleh digunakan pada bila-bila masa.
Di Stadium Perak pula anda akan mengetahui sejarah panjang perjalanan stadium yang sudah berusia 56 tahun dan bagaimana stadium itu diselenggara dan sentiasa dalam keadaan baik dan tersedia untuk digunakan. Stadium itu kini masih menjadi stadium utama pasukan Perak FC.
Stadium lain yang turut diketengahkan termasuk Stadium Darul Aman Alor Setar, Stadium Darul Makmur, Stadium Hang Jebat, Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah Kuala Terengganu, Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah, Stadium Tuanku Abdul Rahman Paroi dan Stadium Likas Di Kota Kinabalu.
“Di Sebalik Sepak Mula” akan bersiaran sebanyak 13 episod bermula 18 Ogos ini, setiap Jumaat hingga Ahad, pukul 11.00 malam di TV Okey.
Anda juga boleh menonton siaran menerusi platfrom RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my).
(Stadium Ipoh/Foto FB Perak Football Club))