fb fb fb fb fb

Danie Hasbullah dan Nor Shima, juara Pertandingan Bintang P. Ramlee Zon Selatan

JOHOR BAHRU, 29 Ogos- Wakil Johor, Danie Hasbullah Mohd Razi dan pasangan duet, Datin Nor Shima Kadir muncul juara Pertandingan Bintang P. Ramlee peringkat Zon Selatan, yang berlangsung di Auditorium Permata Sari, RTM Johor, malam tadi.

Mereka seterusnya akan mewakili zon selatan ke pertandingan akhir Bintang P. Ramlee yang dijangka berlangsung di Kuching, Sarawak pada Oktober nanti.

Danie yang membawakan lagu Mengapa Derita daripada filem Keluarga 69 serta lagu duet, Resam Dunia, Bujang Lapok menewaskan lima lagi peserta untuk membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000.

Beliau berharap dapat melakukan persiapan mencukupi sebelum ke pertandingan akhir nanti, walaupun bakal berdepan saingan sengit daripada juara zon masing-masing.

"Perbezaan membawakan lagu seniman ini adalah dari segi suara kemudian keserasian dengan pasangan serta kawalan teknik vokal amat penting dalam sebuah penyampaian. Untuk persediaan, saya ada masa yang agak singkat namun Insya-Allah saya akan usaha sehabis baik tambahan pula, saya diberi pasangan yang sangat profesional untuk kita bekerjasama," kata Danie Hasbullah kepada pemberita RTM selepas pertandingan tersebut.

Pertandingan Bintang P. Ramlee peringkat Zon Selatan yang disiarkan secara langsung menerusi FB Live dan saluran Youtube Johorfm itu turut menyaksikan Mohd Soffhi Mohamed dan pasangan duet, Shaidatul Nadira Shaharum dari Melaka, muncul naib juara.

Satu lagi wakil Melaka, Yasser Fikri Abu serta Nordiana Noraizam pula tempat ketiga.

Johor, Melaka serta Negeri Sembilan masing-masing menghantar dua wakil serta pasangan duet bagi merebut satu slot ke pertandingan akhir, Oktober depan.


(Wakil Johor, Danie Hasbullah Mohd Razi dan pasangan duet, Datin Nor Shima Kadir
ditemu ramah RTM selepas sesi penyampaian hadiah)

Media Baharu