fb fb fb fb fb

Bunga rai kebangkitan, lancar album sulung ‘Seharum Nama’

Penyanyi rap bertudung, Bunga, meraikan kebangkitannya melalui pelancaran album sulung bertajuk Seharum Nama. Foto- BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Ogos - Selepas melalui detik kejatuhan yang hampir memadamkan semangatnya, penyanyi rap bertudung Bunga kembali berdiri teguh, meraikan kebangkitannya dengan pelancaran album sulung Seharum Nama.

Bunga atau nama sebenarnya Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 25, mengakui bahawa di sebalik sorakan dan tepukan peminat sejak memulakan langkah dalam industri muzik lima tahun lepas, beliau pernah berdepan ujian berat yang hampir membuatkannya menyerah.

Ketika itu, beliau terpaksa membahagikan masa antara kehidupan sebagai mahasiswa, komitmen sebagai penyanyi dan tanggungjawab menjaga ibu yang tinggal sendirian.

“Pernah sampai tahap saya rasa ‘burnout’. Semasa mengikuti pengajian Ijazah (Sarjana Muda) Pentadbiran Awam, saya berulang-alik setiap hari dari Damansara Damai, Petaling Jaya ke Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seremban kerana menjaga ibu.

“Saya perlu bangun seawal 5 pagi dan pulang sekitar 11 malam, kadang-kadang menaiki tren, ada kalanya memandu sendiri. Perjalanan itu akhirnya menjejaskan prestasi sehingga saya gagal dua subjek berturut-turut,” katanya pada sidang media pelancaran album sulungnya baru-baru ini.

Namun, sokongan berterusan suami, Amzar Sabri, 28 yang juga komposer dan penulis lagu, keluarga serta rakan rapat, menjadi tiang kekuatan untuknya kembali mengatur haluan kerjaya.

“Saya cuba pulihkan diri perlahan-lahan dengan aktiviti berasaskan alam seperti berkhemah. Alhamdulillah, ‘healing’ itu membantu saya kembali tenang, menajamkan fokus dan menguatkan semangat untuk berkarya semula,” katanya.

Menyentuh album sulung Seharum Nama, Bunga menjelaskan ia mengambil masa hampir dua tahun untuk disiapkan dengan pemantauan rapi di setiap peringkat produksi bersama-sama Warner Music Malaysia, termasuk mendapatkan pandangan bagi pemilihan lagu dan susunan muzik.

Single utama Tak Tidur Malam pula diinspirasikan watak Meriam dalam filem Pontianak Harum Sundal Malam, menggabungkan unsur tradisional dan “vibe” seram.

“Asalnya kami cuba dangdut, tetapi tidak kena dengan identiti saya. Namun, mesej lagu ini tentang kekuatan diri, bukan kisah hantu,” jelasnya.

Menariknya, dalam album yang memuatkan 10 lagu itu Bunga turut menyelitkan peribahasa Melayu yang jarang digunakan dalam lirik bagi memartabatkan bahasa dan budaya, sekali gus mengingatkan generasi muda tentang keindahan bahasa ibunda serta nilai sopan santun masyarakat dahulu.

Mengulas persepsi terhadapnya sebagai rapper wanita bertudung, Bunga menegaskan fokusnya kekal pada karya dan bukan pada tanggapan luar terhadap penampilannya.-BERNAMA

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN