KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Penyanyi dan penulis lagu kelahiran Britain, Harris J, kini berada di ibu negara bagi menjayakan sesi promosi eksklusif sempena pelancaran album mini (EP) terbaharunya berjudul Revival.
EP Revival menampilkan gabungan karya baharu dan lagu ikonik yang diberi nafas segar, termasuk lagu utama Qalbi Fil Madinah hasil kolaborasi bersama Maher Zain, O Allah, Salati dan Always Listening.
Harris, yang terkenal dengan mesej positif dalam setiap ciptaannya, meluahkan rasa teruja dapat kembali ke Malaysia dan bertemu peminat setia.
"Saya sangat gembira dapat kembali ke Malaysia dan berkongsi album ini dengan semua peminat saya di sini.
"Malaysia sentiasa mempunyai tempat istimewa di hati saya, dan sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat di sini adalah inspirasi terbesar.
"Saya berharap EP Revival ini dapat diterima baik dan menjadi teman dalam perjalanan spiritual mereka," katanya kepada RTM pada sidang media di sini.
Dengan lirik penuh inspirasi, susunan muzik kontemporari dan mesej yang mendalam, karya Harris berteraskan keimanan mampu menyentuh hati generasi baharu yang mencari makna hidup, nilai positif dan identiti diri.
Popularitinya turut meraih jutaan peminat di seluruh dunia.
Menurut Harris, Revival bukan sekadar simbol kemunculan semula dirinya dalam industri muzik, tetapi juga membawa misi peribadi yang lebih besar.
“Saya ingin membantu generasi muda Muslim berasa lebih bangga dengan identiti mereka, dan membantu mereka melihat bahawa Islam adalah cara hidup yang sempurna,” katanya.
Ketika ditanya mengenai lagu yang paling dekat di hatinya, Harris berkata ia melibatkan lagu mengenai ibu.
"Saya telah menulis sebuah lagu yang belum dikeluarkan, dan lagu itu sangat dekat di hati saya. Ia adalah lagu tentang ibu saya. Selain itu, lagu I Promise juga sangat bermakna bagi saya.
"Sepanjang tahun, makna lagu itu telah berubah bagi saya. Ada insan yang membesar bersama saya tetapi kini tiada lagi. Bila saya menyanyikannya, saya terfikir, "Kalaulah saya ada lebih masa bersama mereka".
"Mereka menjaga saya ketika kecil, namun kini saya sudah tiada peluang membalas jasa mereka.
"Bagi mereka yang masih mempunyai insan tersayang, saya mahu mereka memahami maksud saya tentang rahmat Allah SWT yang tiada penghujungnya," katanya.
Sementara itu, lagu O Allah turut mempunyai tempat istimewa di hatinya.
"Allah SWT mencintai saya lebih daripada ibu bapa saya mencintai saya. Walaupun saya banyak kali melakukan kesilapan, Dia tetap menjemput saya kembali setiap hari tanpa gagal.
"Allah SWT memberitahu kita bahawa dia suka apabila kita meminta kepada-Nya. Jadi, jangan sia-siakan peluang ini. Kita masih ada masa. Marilah kita kembali kepada-Nya,” katanya lagi.
Bercakap mengenai inspirasinya, Harris menjelaskan bahawa beliau mahu menyampaikan mesej Islam secara lebih berkesan melalui muzik, yang menurutnya merupakan medium global tanpa batasan bahasa.
Harris percaya setiap individu adalah aset ummah dan berperanan dalam menyebarkan nilai-nilai Islam kepada masyarakat.