fb fb fb fb fb

Boyz II Men 'pukau' peminat di ibu negara

Boyz II Men

KUALA LUMPUR, 29 Mei- Legenda R&B dunia, Boyz II Men, sekali lagi menggegarkan pentas Malaysia dengan persembahan memukau di ibu negara pada 25 Mei lalu.

Konsert yang dinanti-nantikan itu menyaksikan kehadiran ribuan peminat setia dari pelbagai generasi yang tidak mahu melepaskan peluang menyaksikan kumpulan ikonik itu secara langsung.

Persembahan konsert berkenaan dibuka dengan medley rancak 'Can't Let Her Go' dan 'Don’t Stop' sekali gus membuktikan magis Boyz II Men masih mempunyai sentuhan tersendiri.

Kemudian penonton disajikan dengan lagu-lagu balada penuh emosi yang menjadikan mereka bintang antarabangsa pada era 90-an terus menggamit kenangan, terutama menerusi lagu-lagu ikonik seperti 'Can You Stand the Rain', 'Cupid' dan 'Water Runs Dry'.

Selain lagu berkenaan Boyz II Men turut mempersembahkan deretan lagu hits seperti 'End of the Road', 'I'll Make Love to You', dan 'One Sweet Day', menyentuh emosi penonton dengan vokal harmoni mereka.

Malam penuh nostalgia itu turut dimeriahkan dengan interaksi mesra antara ahli kumpulan dan para penonton, mencipta suasana yang penuh kehangatan dan kenangan manis.

Konsert tersebut membuktikan bahawa meskipun berdekad lamanya dalam industri, aura dan kehebatan Boyz II Men masih utuh, meninggalkan impak yang tidak akan dilupakan peminat Malaysia.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI