fb fb fb fb fb

Festival Budaya Filem China-Malaysia 2025 buka lembaran baharu kerjasama sinematik

POSTER Festival Budaya Filem China-Malaysia 2025

KUALA LUMPUR, 30 Mei– Edisi kedua Festival Budaya Filem China-Malaysia 2025 membuka tirai hari ini di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.

Festival yang berlangsung sehingga 8 Jun ini akan menayangkan filem-filem terpilih di GSC Mid Valley dan GSC Gurney Plaza Pulau Pinang, menghimpunkan filem klasik, hits kontemporari dan sesi dialog industri yang merentas dua budaya.

Pengerusi Penganjur, Aron Koh berkata festival berkenaan menjadi platform bagi pembikin filem dan peminat untuk berkongsi minat dan idea, selain mengiktiraf kepelbagaian budaya yang dipaparkan dalam sinema.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching pula menyifatkan festival tersebut sebagai ruang penting memperkukuh kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang filem dan teknologi baharu.

Antara sorotan utama ialah filem klasik 1934 The Goddess, komedi Hong Kong It’s a Mad, Mad, Mad World, serta filem blockbuster Creation of the Gods I & II dari China. Filem Malaysia seperti Guang, Sepet dan Blooms of Happiness turut mewarnai festival tersebut.

Selain tayangan filem, turut dianjurkan, forum AI dan pembikinan filem serta bengkel lakonan bersama pengarah Hong Kong, Clifton Ko.

Dalam pada itu, Lomo Pictures memeterai kerjasama strategik dengan Beijing Tianying Holdings Group bagi menghasilkan produksi bersama XR pertama antara Malaysia dan China.

Festival itu akan diteruskan di Xi’an, China selepas Malaysia. Tiket dijual pada harga RM10 melalui laman web dan aplikasi mudah alih GSC. Maklumat lanjut boleh diikuti di Facebook dan Instagram Festival Budaya Filem China-Malaysia 2025.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE