KUALA LUMPUR, 12 Jun- Syed Iqbal menandatangani kontrak rasmi dengan label berteras keislaman, Masyhur - milik Universal Music Malaysia.
Ia sekali gus memberikan peluang kepada pelantun lagu Basstamam itu untuk meluaskan jangkauan muzik dan kerjaya seninya.
Lagu terbaharu bawah label tersebut dicipta oleh Amir Hufaz dan Wan Saleh, dengan lirik hasil nukilan Abdulkarim Al Ali dan Wan Saleh.
Menurut Syed Iqbal, proses rakaman berjalan dengan lancar dan menyeronokkan, walaupun pada awalnya timbul sedikit rasa bimbang.
"Mula-mula saya takut kalau ada tekanan sewaktu rakaman, tapi lama-kelamaan saya dapat catch up dan berasa sangat gembira. Paling membanggakan, saya hanya perlukan dua jam sahaja untuk siapkan rakaman lagu ini.
"Saya harap para pendengar dapat benar-benar menghayati setiap bait lirik dan menikmati rasa 'basstamam' itu dalam hati. Kita semua perlukan ketenangan dan lagu ini diharap menjadi pengubat kepada jiwa yang sedang diuji," katanya.
Keseluruhan pembikinan lagu itu disokong tenaga kerja kreatif yang ikhlas dan berdedikasi dalam memberikan kelainan dalam karya tersebut.
"Semua yang terlibat sangat sporting dan mudah dibawa berbincang. Saya benar-benar menghargai komitmen mereka," katanya lagi.
Basstamam kini tersedia di semua platform penstriman digital selain ia mendapat tempat di hati pendengar dari pelbagai latar belakang.
"Harapan saya agar lagu ini tersebar luas dan membawa mesej positif kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya," katanya.