fb fb fb fb fb

Barbra Streisand terima anugerah pencapaian seumur hidup SAG

Artis veteran Hollywood, Barbra Streisand /Foto Reuters

LOS ANGELES, 25 Februari - Pelakon, penyanyi dan juga pengarah filem, Barbra Streisand menerima anugerah Pencapaian Seumur Hidup Screen Actors Guild (SAG) terhadap sumbangannya dalam bidang seni dan kerja kemanusiaannya.

Streisand, 81 tahun menerima anugerah tertinggi SAG berkenaan daripada dua penyampai iaitu Jennifer Aniston dan Bradley Cooper.

Streisand merupakan penerima ke-59 anugerah itu, yang diberikan kepada seorang pelakon yang memupuk "cita-cita terbaik dalam profesion lakonan."

Pelakon veteran itu turut menerima tepukan gemuruh daripada para tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Ketika memberikan ucapan, Streisand mengimbas kembali tentang impiannya untuk menjadi seorang pelakon semasa remaja di Brooklyn dan kekagumannya terhadap pelakon Marlon Brando dalam filem 1955 "Guys and Dolls."

"Dunia imaginasi itu jauh lebih menyenangkan daripada apa yang saya alami," kata Streisand kepada para tetamu.

"Saya tidak menyukai realiti. Saya mahu berada di dalam filem walaupun saya tahu saya tidak kelihatan seperti wanita lain di layar filem.

"Ibu saya berkata, 'Lebih baik anda belajar menaip,' tetapi saya tidak pernah mendengar nasihatnya", tambah Streisand.

Anugerah SAG merupakan yang pertama buat Streisand yang telah memenangi dua Oscar, 10 Grammy, lima Emmy dan Tony "Bintang Dekad" kehormat yang meletakkannya dalam kelab bintang elit EGOT yang telah memenangi semua anugerah tersebut.

Streisand memenangi Oscar pertamanya pada tahun 1969 untuk peranan utamanya sebagai penghibur Fanny Brice dalam komedi 1968 "Funny Girl."

Dia sekali lagi dicalonkan untuk Oscar pada 1973 bergandingan dengan Robert Redford dalam kisah percintaan "The Way We Were" pada 1973.

Streisand mengarah dan membintangi drama muzikal "Yentl" pada tahun 1983 dan mengulangi prestasi berganda dalam drama romantik "The Prince of Tides" pada tahun 1991.

Sementara itu, anugerah Grammy pertamanya hadir pada 1964 untuk "Album The Barbra Streisand," dan pada tahun 1978.

Streisand merupakan satu-satunya artis rakaman yang mencapai album No.1 di carta Billboard dalam setiap enam dekad yang lalu.

Pelakon itu turut melaksanakan kerja-kerja kemanusiaan termasuk menyokong alam sekitar, hak wanita, kebebasan sivil dan perlucutan senjata nuklear.

Yayasan itu turut bertanggungjawab menubuhkan Pusat Jantung Wanita di Hospital Cedars-Sinai di Los Angeles dan mengumpul dana untuk rawatan perubatan di Ukraine selepas panggilan 2022 dengan Presiden Volodymyr Zelenskiy.

Pada penghujung 2023, dia menerbitkan memoir setebal 970 halaman "My Name is Barbra," yang merupakan buku terlaris dan mengambil masa selama 10 tahun untuk disiapkan.- REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD