fb fb fb fb fb

'Bangun, Kita Bagi Jadi' semarakkan Bulan Kebangsaan

Aman RA

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Muzik video baharu 'Bangun, Kita Bagi Jadi' merupakan kerjasama antara CIMB dan penyanyi rap terkenal negara Aman RA bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Ia merupakan sebahagian daripada gerakan sosial 'Kita Bagi Jadi' untuk menyemai semangat ketahanan, optimisme dan nilai positif dalam kalangan rakyat Malaysia.

Lagu Bangun dipilih kerana sesuai dengan aspirasi kempen, dan muzik video itu turut menampilkan ikon Olimpik negara, Datuk Azizulhasni Awang.

Menurut Aman RA, pada awal menerima usul berkenaan kolaborasi tersebut, dia mahu menghasilkan karya yang tulus dan jujur supaya ia lebih semula jadi.

"Apabila saya menerima usulan itu, saya merasakan ia bukan sekadar tentang muzik dan korporat semata-mata. Bangun ini, pada saya, ibarat satu kesinambungan yang lahir daripada kisah budak flat.

"Dalam muzik video baharu pula, ada elemen tambahan yang saya harapkan sejak dahulu, contohnya adegan burger. Perkara kecil seperti ini melambangkan bagaimana karya seni boleh saling melengkapi – menjadikan Bangun sebuah karya yang benar-benar hidup," katanya.

Penyanyi rap kelahiran Kuala Lumpur itu juga mahu setiap karya yang dihasilkan memberi kesan kepada semua pendengar.

"Sebagai penulis lagu, saya sentiasa berusaha berkarya secara semula jadi, bukan untuk mengejar sesuatu. Sekiranya saya tiada lagi di dunia ini, saya berharap ada karya yang akan kekal relevan – seperti yang secara semula jadi akan tersenarai dalam himpunan lagu Hari Merdeka atau Hari Raya.

"Bagi saya, Bangun berpotensi menjadi salah satu daripadanya. Apabila didengar, orang akan memahami karya ini, itu sudah memadai," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Jenama dan Pemasaran Kumpulan CIMB, Toni Darusman, berkata, kolaborasi tersebut memberi inspirasi kepada rakyat supaya terus berusaha dalam kehidupan.

"Melalui Kita Bagi Jadi, kami ingin menginspirasi rakyat untuk berusaha mengejar impian masing-masing dan menjadikannya kenyataan. Muzik dan sukan telah lama menjadi ejen perpaduan, dan Bangun, Kita Bagi Jadi menyatukan dua personaliti berbeza yang membawa mesej sama – semangat untuk bangkit dan berjaya.

"Kolaborasi bersama Aman RA pula amat bermakna kerana beliau merupakan sosok inspirasi. Semangat ketahanan dan kisah peribadinya, lirik Jatuh satu kali ,Kita bangun tiga kali,ini mencerminkan daya juang yang kental.

"Beliau juga menekankan bahawa Modal mula tak perlu besar, Yang penting jiwa kental, ini selari dengan aspirasi CIMB untuk membantu merealisasikan impian," katanya.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI