KUALA LUMPUR, 8 Julai -Penyanyi popular Amir Masdi akhirnya terbuka berkongsi mengenai sosok wanita istimewa yang berjaya menambat hatinya menerusi harya baharu berjudul 'Bakal Kekasih'.
Lebih menarik, cerita di sebalik wanita berkenaan diangkat dan diterjemahkan dalam karya itu yang merupakan hasil ciptaan bersama komposer tersohor Edry Abdul Halim.
Menurut Amir, lagu itu menyerlahkan sisi berbeza dirinya dalam genre rock and roll selain menyampaikan mesej bersifat universal yang menyentuh perasaan.
"Saya tulis lagu ini sebagai lagu yang gembira, tentang perasaan suka pada seseorang. Tetapi Cikgu Edry memberi cadangan supaya ia dibawa lebih jauh – daripada sekadar suka kepada keinginan menjadikan seseorang itu pasangan hidup.
"Saya fikir idea itu sangat menarik dan boleh semua pendengar bolehterkesan dengan lagu ini sama ada yang masih bujang ataupun yang sudah berkahwin," jelas Amir.
'Bakal Kekasih' merupakan lagu keempat album A.M P.M (Side A.M), selepas kejayaan lagu-lagu terdahulu seperti Nur Cinta, Calar, dan Langit Biru.
Karya itu sedikit berbeza dengan lagu sebelum ini yang mempunyai suntikan genre rock and roll dan ia merupakan percubaan pertama Amir.
"Lagu ini sebenarnya saya tulis selepas PKP dan ia tersimpan lama dalam telefon. Ketika merancang album ini, saya teringat semula lagu itu dan kongsi dengan Cikgu Edry.
"Beliau kata, lagu itu bagus dan dengan bantuannya maka terhasil 'Bakal Kekasih'," katanya lagi.