fb fb fb fb fb

'Stamina' buah tangan baharu SonaOne

SonaOne

KUALA LUMPUR, 8 Julai -Bintang hip hop tanah air, SonaOne, kembali menghangatkan industri muzik tempatan dengan lagu terbaharunya berjudul 'Stamina'.

Menurut SonaOne lagu tersebut menampilkan sisi lebih matang dan reflektif berbeza dirinya.

"Ia tentang mengekalkan ketenangan dalam situasi sukar. Bila kita nak luah, tetapi kita cuba tahan dan berharap orang itu tidak hilang begitu saja.

"Ini stamina emosi — ketahanan hati, bukan fizikal semata-mata," kata SonaOne.

Lagu tersebut dihasilkan secara spontan — bermula dengan hook “mmm-mmm-mmm” yang dirakam secara rawak, namun kekal hingga ke versi akhir.

"Saya tak fikir terlalu banyak. Saya hanya ikut rasa. K1O bantu perkemas beberapa baris akhir, dan Wolfy pula membantu bina struktur lagu dari draf asal saya. Kadang-kadang lagu terbaik datang bila kita berhenti cuba dan biarkan ia terhasil sendiri.

"Demo Stamina sendiri sudah memiliki jiwa. Kami hanya memperindahkannya tanpa menghilangkan perasaannya. Saya mahu mengekalkan keaslian itu," katanya lagi.

Menurut SonaOne, 'Stamina' disifatkan sebagai permulaan untuk menghasilkan karya lebih hebat pada masa akan datang.

"Akan ada lebih banyak muzik, lebih banyak visual, dan lebih banyak cerita. Sekarang saya lebih yakin nak berkarya dengan cara saya sendiri," katanya.

SonaOne juga tidak mahu melakukan gimik dan sensasi palsu demi meraih perhatian pendengar — hanya karya jujur dengan produksi yang berkualiti.

"Sekiranya lagu ini kena tepat dengan perasaan para pendengar, itu dah cukup bagi saya," katanya menutup bicara.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI