KUALA LUMPUR, 20 Ogos - Impian penyanyi Atilia Haron untuk berkongsi pentas bersama ibunya, legenda seni suara tanah air Salamiah Hassan, menjadi kenyataan menerusi konsert “Gelombang Bahagiaku” di Plenary Theatre, Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC) Sabtu lalu.
Atilia menyifatkan malam itu sebagai detik luar biasa kerana impian sejak kecilnya tercapai.
“Sejak kecil, saya ingin menjadi seperti mama. Dapat berkongsi pentas bersamanya di hadapan penonton yang penuh… it’s surreal. Projek ini bukan mudah kerana kami bermula tanpa penaja, tetapi berkat sokongan rakan dan keluarga, ia menjadi malam yang tidak akan saya lupakan,” katanya.
Salamiah pula menganggap persembahan tersebut sebagai momen paling berharga sepanjang 55 tahun kariernya.
“Saya dapat lihat di mata Atilia penuh semangat dan kasih itu yang membuatkan saya rasa inilah kebahagiaan sebenar,” ujarnya.
Lebih 500 penonton terpukau dengan rangkaian lagu yang dipersembahkan termasuk “No Fruits For Today”, “Rekah”, “Kekanda Adinda”, “Surat Terakhir”, “Kenang Daku Dalam Doamu” dan “Gelombang”.
Sebagai penutup, duet sulung ibu-anak menerusi “Age Is Just A Number” mendapat tepukan gemuruh, manakala persembahan klasik “Empat Dara” bersama Mimifly dan Elvira Arul menjadikan konsert itu perayaan cinta, warisan dan muzik merentas generasi.