KUALA LUMPUR, 4 September – Penyanyi rap dan hip hop yang semakin menyerlah di persada muzik Malaysia, Asyraf Nasir kembali mencuri perhatian dengan single terbaharunya berjudul “CINDERELLA”.
Menurut Asyraf, berbeza daripada kisah dongeng asal, lagu itu mengetengahkan sebuah kisah dongeng moden penuh keyakinan, tanpa kasut kaca yang meraikan golongan dipinggirkan.
“CINDERELLA adalah untuk sesiapa yang pernah rasa terpinggir, tetapi tahu dalam hati bahawa mereka punya sesuatu yang istimewa. Lagu ini tentang keyakinan, tentang tiba-tiba semua mata memandang, dan anda menikmatinya sepenuhnya.
"Lagu itu dihasilkan hanya dalam tempoh dua hari, kebanyakannya menggunakan rakaman 'first take'. Sama seperti karya terdahulu, “VIRUS”.
“Kita tak 'overthink'. Apa yang anda dengar adalah hasil tangkapan babak sebenar. Jujur dalam cara terbaik,” katanya menerusi kenyataan.
Bagi Asyraf, bekerja dengan penyanyi, SonaOne adalah pengalaman yang membuka mata.
“Dia (SonaOne) tahu bila nak bina ruang dan bila nak naikkan tenaga. Rasanya macam main ping-pong idea, saya lempar, dia balas, dan tiba-tiba lagu ni jadi hidup,” katanya.
Jelas Asyraf, bunyi 'eccentric synth piano' yang membuka lagu ini sebenarnya diadaptasi daripada sebuah lagu lama Malaysia yang diberi sentuhan moden.
"Lagu “CINDERELLA” sendiri bermula sebagai demo sejak tahun 2020. Selepas lima tahun, melodi asalnya masih segar di ingatan Asyraf dan rakan-rakan pemuzik.
"Hampir tiada perubahan besar dilakukan daripada demo ke versi akhir kerana keajaibannya sudah hadir sejak awal. Kita perbaiki adunan muzik, tapi kita kekalkan rasa asal. Saya percayakan Kid Kenobi untuk hasil akhir,” katanya lagi.
Asyraf melihat “CINDERELLA” sebagai pembuka tirai kepada era baharunya.
“Anda sedang menyaksikan babak pertama fasa baharu saya. Setiap lagu akan ada watak dan personalitinya sendiri, macam karakter dalam filem. Saya mahu pendengar tenggelam dalam fantasi itu,” jelasnya.
Menerusi “CINDERELLA”, Asyraf bukan sahaja memperkenalkan sisi baharu, malah membuktikan bahawa kisah dongeng juga boleh diangkat dalam rentak hip hop moden, penuh keyakinan dan gaya tersendiri.
Single “CINDERELLA” berada di semua platform digital bermula 8 Ogos 2025.