fb fb fb fb fb

SELBIZ 2025 tawar pengisian baharu, berlangsung 28-30 November ini

Datuk Norman Abdul Halim

SHAH ALAM, 4 September – Pameran keusahawanan terbesar anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SELBIZ 2025, bakal melangkah lebih jauh dengan pelbagai pengisian baharu dan menarik pada 28 hingga 30 November ini di Shah Alam Convention Centre (SACC).

Edisi kali ini menampilkan zon pameran berteknologi tinggi, konsert imersif selama tiga hari, program 'Family Fun Run', pertandingan e-Sukan serta pelbagai aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga.

Antara tarikan utama ialah Konsert Gempak SELBIZ, yang menghimpunkan barisan artis popular tanah air termasuk Dayang Nurfaizah, Haqiem Rusli, Adira Suhaimi, Black Hanifah, Nabila Razali, Zarul Umbrella dan ramai lagi.

Menurut Pengurus Pembangunan Usahawan PKNS, Yuzawati Yusof, pihaknya optimis SELBIZ 2025 akan menjadi medan berhibur sambil berinformasi.

“Bertemakan Festival Inovasi, kami berharap SELBIZ 2025 menarik lebih ramai pengunjung, di samping menggalakkan penggunaan teknologi digital untuk memajukan perniagaan PMKS,” katanya menerusi kenyataan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyaksikan persembahan maskot animasi popular seperti Didi & Friends dan Umar & Hana, serta berkenalan dengan maskot baharu Zan Orangutan dan KiKaKo Kids.

Sementara itu, Pengurus Acara SELBIZ 2025, Datuk Norman Abdul Halim, menegaskan penganjuran kali ini tampil dengan strategi penjenamaan serta kandungan program yang lebih segar.

“Di samping berhibur dan bersukan, pelbagai tawaran istimewa daripada pempamer serta hadiah cabutan bertuah buat pengunjung akan diumumkan dari semasa ke semasa,” jelas beliau.

Dengan gabungan hiburan, inovasi dan peluang perniagaan, SELBIZ 2025 dijangka menjadi festival gaya hidup serta keusahawanan paling meriah penghujung tahun ini.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM