fb fb fb fb fb

'Demi Lencana Di Dada', lagu rasmi Harimau Malaya

Hujan

KUALA LUMPUR, 6 September – 'Demi Lencana Di Dada' merupakan lagu rasmi skuad kebangsaan Harimau Malaya bagi menyemarakkan semangat kepada pemain serta penyokong pasukan negara itu.

Lagu kolaborasi pertama Warner Music Malaysia (WMM) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu dinyanyikan kumpulan Hujan dan diyakini memberi impak besar kepada arena bola sepak Malaysia.

Ia diyakini mampu memperkuat semangat kesukanan dan patriotisme rakyat ketika memberi sokongan kepada pasukan negara.

Menurut vokalis Hujan, Noh, mereka mula membangunkan projek ini sejak Februari lalu bagi memastikan kualiti muzik, lirik dan mesej benar-benar menyentuh jiwa.

"Kami rasa sangat berbesar hati dan bangga bila diberi peluang menyanyikan lagu rasmi Harimau Malaya. Sebagai rakyat Malaysia, bola sepak sudah menjadi sebahagian daripada jiwa kita semua.

"Bila kami menyanyikan lagu ini, ia bukan sekadar sebuah lagu, tapi satu semangat yang menyatukan seluruh negara di belakang pasukan kebanggaan kita," katanya.

Sebagai tanda pelancaran rasmi, lagu ini akan diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 4 September, sempena Perlawanan Persahabatan antara Malaysia dan Singapura.

Lagu tersebut juga akan dimainkan ketika perlawanan Malaysia menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada 8 September.

Pada 4 September lalu ia diperdengarkan buat kali pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil sempena Perlawanan Persahabatan antara Malaysia dan Singapura.

Meskipun teruja dengan peluang tersebut, Noh mengakui mereka berdepan cabaran besar sepanjang proses rakaman.

"Bukan mudah sebenarnya mahu menyampaikan rasa semangat dan jiwa Harimau Malaya dengan penuh keikhlasan. Lagu ini bukan sekadar melodi tetapi simbol perjuangan, pengorbanan dan harapan.

"Jadi kami perlu pastikan setiap lirik dan setiap nada yang kami nyanyikan boleh membakar semangat pemain dan penyokong, sama ada di stadium mahupun di rumah," jelasnya.

Seperti yang diketahui umum, muzik merupakan nilai tambah dalam menghidupkan semangat dan keterujaan dalam bola sepak.

'Demi Lencana Di Dada' boleh didengari di semua platform digital.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI