KUALA LUMPUR, 3 Jun – Gitaris fingerstyle terkenal, Anwar Amzah, melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya muziknya menerusi pelancaran single solo sulung berjudul Imaginasi, yang dilancarkan secara rasmi malam ini jam 9 malam di saluran YouTube Mask Team Official.
Anak kelahiran Kluang, Johor, berusia 27 tahun itu bukan sahaja mencuri tumpuan dengan kehebatan permainan gitar fingerstyle, malah kali ini tampil dengan suara dan ekspresi peribadi sebagai penyanyi.
“Lagu Imaginasi adalah ekspresi perasaan saya. Saya harap pendengar dapat merasai emosi yang ingin saya sampaikan,” ujar Anwar.
Anwar, yang mula bermain gitar sejak usia lima tahun dan aktif berkarya lebih sedekad, pernah mengiringi ramai artis ternama tanah air seperti Hael Husaini, Marsha Milan, Khai Bahar, Syamel, Ernie Zakri dan Nabila Razali.
Di peringkat serantau, beliau turut pernah beraksi bersama artis tersohor Indonesia seperti Dato’ Sri Rossa, Mahalini, Govinda, Keisya Levronka, Bernadya dan Fabio Asher.
Pelancaran Imaginasi bukan sahaja mencerminkan evolusi seni Anwar Amzah, malah diharapkan dapat menyuntik nafas segar dalam industri muzik tempatan.