KUALA LUMPUR, 29 Oktober- Penyanyi, penulis lirik dan komposer berbakat besar serta dikenali ramai dalam industri hiburan Malaysia, Aina Abdul terus mengorak langkah dalam kembara seninya dengan melancarkan album sulung secara digital 'IMAJI'.
Album yang menelan kos sebanyak RM300,000 itu juga menghimpunkan 14 buah lagu istimewa hasil nukilan dan ciptaan Aina Abdul sepenuhnya termasuk single 'Jangan Mati Rasa Itu' yang dilancarkan pada 25 Ogos lepas bersempena dengan tarikh lahirnya yang ke-30.
'IMAJI' bermaksud susunan kata yang dapat memberi gambaran jelas seolah-olah efek khayalan sehingga pembaca mampu untuk turut sama merasa, melihat dan mendengar emosi sebenar yang ingin diungkapkan oleh penulis.
Interpretasi album berkenaan merupakan luahan tersendiri Aina menerusi 14 lagu istimewa dalam pelbagai genre muzik termasuk balada, pop dan indie untuk menampilkan kelainan album sulungnya itu.
Lagu-lagu balada yang dimuatkan dalam album itu turut diinspirasi daripada bunyian balada Korea, Indonesian dan Eropah.
Bagi album itu Aina turut berkerjasama dengan empat penerbit prolifik seperti Mac Chew, Jenny Chin, Ezra Kong dan Affan Mazlan.
Proses pembikinan album 'IMAJI' mengambil masa kira-kira setahun untuk disempurnakan.
Sepanjang proses penerbitan album ini, Aina turut menginspirasi penyanyi-penyanyi tersohor antarabangsa seperti Lara Fabian, Michael Bublé dan Nina Simone.
Album tersebut boleh dimuat turun menerusi kesemua aplikasi penstriman atas talian seperti iTunes Stores, Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox, YouTube Music dan Deezer.