KUALA LUMPUR, 6 September - Filem Abu Si Raksasa, yang bakal menemui penonton pada 11 September ini, hadir sebagai percubaan berani dalam genre sains fiksyen tempatan.
Ia mengangkat kisah seekor salamander peliharaan bernama Abu yang bermutasi akibat pencemaran bahan kimia daripada pencuci tandas jenama ROXCCID.
Karya yang diarahkan Ramdan Che Hassan, mengetengahkan isu alam sekitar melalui pendekatan satira fiksyen.
Filem itu menampilkan barisan pelakon popular seperti Sophia Al-Barakbah, Jaa Suzuran, Zalif Sidek, Afieq Shazwan, Azhar Sulaiman dan Maria Farida.
Menurut penerbit, Zamin, pembikinan Abu Si Raksasa menelan belanja kira-kira RM2 juta, termasuk kos imej janaan komputer (CGI) dan kesan visual (VFX).
"Boleh dikatakan ia adalah bajet yang agak terhad, namun produksi telah berusaha memberikan yang terbaik. Kami berterima kasih kerana menerima dana daripada Kementerian Komunikasi dan FINAS bagi menjayakan filem ini," ujarnya.
Ketika ditanya berkenaan watak Abu yang dilihat kurang realistik dari segi CGI serta kritikan daripada pengkritik filem terhadap hasil karyanya, Zamin menegaskan bahawa kritikan tidak seharusnya menjadi penghalang untuk terus berkarya.
"Walau sehebat mana kita hasilkan sesuatu, kritikan tetap akan ada. Tetapi itu tidak boleh menghentikan usaha kita, apatah lagi jika karya tersebut membawa manfaat kepada masyarakat, misalnya dari segi pendidikan.
"Kalau kerana takut CGI tidak sempurna lalu kita enggan berkarya, itu bukan cara yang sihat. Saya percaya penonton kita bijak menilai. Mereka boleh mengabaikan kelemahan teknikal dan fokus kepada jalan cerita serta lakonan.
"Kadang-kadang CGI nampak hebat, tetapi cerita kosong. Jadi, apa yang penting adalah penceritaan, sebab itu kami berani menghasilkan filem ini tanpa rasa takut atau menunggu 'restu'. Kami yakin dengan naskhah yang kami bawa,” jelasnya.
Sementara itu pelakon jelitawan Maria Farida turut berkongsi pengalamannya berlakon dengan salamander.
"Ia satu pengalaman mencabar kerana saya sememangnya penakut dengan haiwan seperti biawak dan cicak. Haiwan jenis ini, memang musuh utama saya.
"Kalau ternampak, saya akan terus lari. Jadi bila dapat tawaran berlakon dengan salamander, saya fikir dahulu sama ada mampu atau tidak, terutama bila ada babak yang perlu memegangnya.
"Namun di lokasi penggambaran, pengarah kata tidak mengapa, kalau saya terlalu geli mereka boleh gunakan pelakon pengganti. Syukurlah, akhirnya ia menjadi pengalaman yang menyeronokkan," katanya.