fb fb fb fb fb

24 kumpulan indie berentap pada Pesta Teater Garden 2025

Poster Pesta Teater Indie Garden

KUALA LUMPUR, 6 September – Pesta Teater Indie Garden 2025, acara seni terbuka bakal menghimpunkan 24 kumpulan teater indie terbaik terdiri daripada pelajar universiti serta kumpulan teater indie sekitar Lembah Klang, pada 12 hingga 15 September di ibu negara.

Acara anjuran Pertubuhan Pentas Revolusi dengan kerjasama Revolution Stage dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu bertujuan memartabatkan seni teater dalam kalangan masyarakat tempatan, selain menyediakan platform terbuka untuk bakat baharu.

Sepanjang empat hari penganjuran, pencinta seni berpeluang menyaksikan 24 kumpulan teater indie mempersembahkan karya berdurasi 10 hingga 15 minit dengan pelbagai tema dan pendekatan kreatif.

Kesemua kumpulan yang terpilih akan menampilkan karya terbaik masing-masing bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM20,000. Lebih daripada sekadar pertandingan, Pesta Teater Indie Garden 2025 diyakini menjadi medan pementasan karya kreatif serta ruang komuniti untuk memperkukuh apresiasi seni dan budaya dalam kalangan masyarakat.

Orang ramai dijemput hadir ke Taman Tasik Titiwangsa dari 12 hingga 15 September ini bagi menyokong penggiat seni tempatan dan bersama-sama meraikan keindahan teater dalam suasana santai serta terbuka.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI