KUALA LUMPUR, 10 November -Dewan Merdeka, WTCKL digamatkan dengan kehadiran kira-kira 2,000 penonton konsert 'Battle of Time Exists X Masdo' yang berlangsung dengan penuh nostalgia dengan alunan lagu-lagu malar segar.
Diterajui oleh DENNSA dan Sensorhythm dengan sokongan Kementerian Komunikasi serta Kumpulan My Creative Ventures, konsert bermula pada pukul 8.00 malam itu membawa penonton mengimbau kenangan manis masa lalu.
Bertemakan 'Battle of Time,' konsert tersebut menyatukan dua kugiran besar, Exists dan Masdo dalam satu pentas yang menampilkan perjalanan muzik dari era berbeza.
Nama Exists, yang sudah mencipta nama sejak tiga dekad lalu menjadi inspirasi kepada pemuzik-pemuzik generasi baharu seperti Masdo, yang membawa aliran pop 60-an ke arus perdana.
"Sebagai kugiran baharu, kami sangat teruja dapat berkongsi pentas bersama Exists. Lagu-lagu mereka sering menjadi siulan kami semasa remaja," kata Masdo, yang dianggotai oleh Ali, Mawi, dan Putu Ceri.
Malam itu, Masdo membuka persembahan dengan 10 lagu, antaranya Bunga, Miss Flower Learns to Twist, Janji Manis, Inilah JalanNya, Perih Jerih, Kechundang, Kasih & Sayang," dan Dinda.
Mereka menutup set dengan lagu Malam Pesta Rock & Roll dan Bercanda Di Malam Indah.
Menurut Putu Ceri, "Walaupun genre muzik kami berbeza, tema 'Battle of Time' cukup signifikan bagi Masdo yang membawa aliran pop 60-an."
Exists, yang kini berusia 33 tahun, membuka segmen mereka dengan lagu Seperti Dulu, diikuti Mama Tolonglah Percaya, Julia, Tak Tahu Harga Cinta, dan Janji Padamu.
Ezad, Ujang, Musa, Along, dan Ajai turut membawakan medley Pancut Ke Siling dan Oh! Benih Adam sebelum menyambung dengan lagu-lagu popular seperti Langkah Seiringan, Bunga, Jesnita, Percayakan Siti, Rahsia Pohon Cemara, Mengintai Dari Tirai Kamar dan Alasanmu.
Malam yang penuh emosi dan nostalgia itu diakhiri dengan Exists dan Masdo tampil bersama untuk lagu penutup Pujaanku, Kapal Terbang Kertas, dan Pesta Muda Mudi.