fb fb fb fb fb

“BREAK” karya galau terbaharu Misha Omar

Misha Omar tampil dengan single baharu, BREAK

KUALA LUMPUR, 31 Julai – Penyanyi tersohor, Misha Omar tampil dengan single terbaharu berjudul Break, ciptaan sepenuhnya komposer prolifik Melly Goeslaw dan diterbitkan Tohpati. Lagu yang dilancarkan pada 20 Jun lalu oleh Sony Music Entertainment itu menjadi kolaborasi pertama antara Misha dan Melly.

Walaupun Break membawa makna jeda atau rehat, bagi Misha, ia simbol kepada tekad untuk terus relevan dan menghasilkan karya berkualiti.

“Projek ini bermula apabila saya memberanikan diri menghantar DM kepada Melly. Saya luahkan hasrat untuk memiliki lagu ciptaan beliau, dan akhirnya Break ditulis khas untuk saya,” katanya mengenai detik awal kolaborasi bersejarah itu.

Rakaman Break yang dijalankan di Jakarta menjadi pengalaman istimewa buat Misha yang sudah lama menyimpan impian menyanyikan karya Melly.

“Judulnya, melodi, dan lirik semuanya dihasilkan khas untuk saya. Sebagai penyanyi, saya mahu menyampaikan karya ini dengan penghayatan terbaik agar benar-benar sebati dengan jiwa pendengar,” jelasnya.

Mesej mendalam tentang hubungan
Bercerita tentang mesej di sebalik Break, Misha berkata ia menggambarkan perlunya kesaksamaan dalam perhubungan.

“Kalau saya kata ‘I love you’ dengan sepuluh (mata penuh), pasangan pun kena balas dengan sepuluh. Jangan beri dua, lima atau enam. Ia juga tentang memberi ruang untuk melihat semula hubungan, kerana setiap pasangan akan melalui fasa bosan atau hilang bibit cinta. Break adalah peringatan untuk sama-sama berusaha menghidupkannya semula,” katanya.

Proses ketat sebelum pelancaran
Walaupun sudah berstatus penyanyi senior, Misha menekankan pentingnya persediaan vokal dan penghayatan sebelum projek bermula.

“Saya dapat bimbingan daripada guru vokal, Datuk Syafinaz Selamat. Kami ‘bedah lirik’ satu persatu untuk memastikan jiwa Break benar-benar sampai kepada pendengar,” katanya.

Misha turut berharap agar peminat terus memberi sokongan kepada karya tempatan dan serumpun.

“Saya mahu industri muzik terus berkembang, dan itu hanya boleh dicapai dengan sokongan padu peminat,” katanya menutup bicara.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE