fb fb fb fb fb

Legenda muzik Sheila Majid lancar single “Moving On” sempena 40 tahun kerjaya seni

Sheila Majid

KUALA LUMPUR, 30 Julai - Empat dekad lalu, bermulalah perjalanan seorang penyanyi legenda bertubuh genit dengan suara merdu yang mengubah landskap muzik tanah air.

Datuk Sheila Majid sekali lagi membuktikan keunggulan serta ketahanannya dalam industri apabila melancarkan single terbaharunya berjudul Moving On, sempena meraikan 40 tahun perjalanan seninya yang luar biasa.

Majlis pelancaran tersebut berlangsung meriah dalam sebuah acara eksklusif di Pavilion Damansara Heights, yang turut mendapat perhatian peminat, media serta rakan industri.

Dikenali menerusi lagu-lagu ikonik seperti Legenda, Antara Anyer dan Jakarta serta Sinaran, Datuk Sheila telah mencipta identiti muzik tersendiri dengan menggabungkan elemen jazz, pop dan R&B.

Menerusi vokal unik, semangat yang tidak pernah luntur, dan gaya muzik yang sentiasa berevolusi, penyanyi legenda itu terus menjadi sumber inspirasi merentasi generasi.

Peluncuran Moving On menjadi bukti beliau kekal relevan dengan semangat keberanian dan daya tahan dalam dunia muzik yang sentiasa berubah.

Moving On bukan sekadar sebuah lagu baharu, ia merupakan cerminan perjalanan peribadi seorang legenda.

Lagu ini menyampaikan mesej penyembuhan, kekuatan dan kebebasan, dengan adunan segar muzik era disko serta sentuhan nu-disco kontemporari.

“Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa, lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya.” ujar Datuk Sheila.

Moving On juga mengangkat jiwa anak muda, khususnya generasi yang masih mencari identiti diri di tengah kesibukan dunia digital.

Ia mengajak pendengar meninggalkan kekecewaan dan terus melangkah ke hadapan dengan semangat percaya diri serta kebebasan emosi, terutama dalam era digital yang penuh cabaran hari ini.

Bagi merealisasikan visi muziknya, Datuk Sheila bekerjasama dengan penerbit terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin, yang pernah menghasilkan karya bertaraf antarabangsa. Mood board lagu ini diinspirasikan daripada era kegemilangan Donna Summer dan Diana Ross, selari dengan kecintaan Sheila terhadap groove 80-an, malah, irama city pop yang kini kembali diminati generasi muda bukanlah sesuatu yang asing buat  Datuk Sheila kerana di situlah akar muziknya bermula.

“Sheila bukan sekadar legenda. Dia masih mencipta dan mengilhamkan karya indah dan Moving On membuktikan bahawa seni sebenar akan sentiasa ada tempat di hati pendengar.” kata Kim Lim daripada Universal Music Malaysia.

Dalam sidang media tersebut, Sheila turut berkongsi:

“Sebenarnya saya sudah lama teringin untuk lakukan sesuatu yang berbeza. Anda semua tahu genre muzik yang saya bawakan, bukan? Seperti yang anda maklum, saya pernah bekerjasama dengan beberapa penerbit terbaik di rantau ini, dari Indonesia, Malaysia, Singapura. Jadi, saya fikir ia menarik untuk bekerjasama dengan seseorang yang tidak begitu mengenali muzik saya. Saya percaya ia akan memberi nafas segar. Kali ini, saya mahu bawa suasana disko.” katanya.

Majlis pelancaran ini turut diserikan dengan pelbagai aktiviti interaktif bersama peminat, termasuk persembahan istimewa daripada artis hebat seperti Tabby, NAKI dan Gaston Pong. Turut diadakan pertandingan Best Dressed, di mana tetamu hadir dengan pakaian bertemakan acara, berpeluang memenangi hadiah istimewa berupa tiket ke konsert Sheila Majid.

AZRUL FAIZAL JUSOH