WHO bimbang ‘hujan hitam’ di Iran jejas kesihatan

FOTO REUTERS

GENEVA, 11 Mac – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran, fenomena “hujan hitam” yang dilaporkan berlaku di Iran selepas serangan ke atas kemudahan minyak boleh menjejaskan kesihatan penduduk, khususnya sistem pernafasan.

RINGKASAN BERITA AI
  • WHO menerima beberapa laporan mengenai hujan bercampur bahan minyak sejak beberapa hari lalu.
  • Jurucakap WHO berkata hujan berasid dan hitam berpotensi membahayakan, terutama masalah pernafasan.
  • WHO menyokong nasihat pihak berkuasa Iran agar orang ramai kekal di dalam rumah bagi kurangkan pendedahan.
  • Kebakaran di kemudahan simpanan dan penapisan minyak mencetus kebimbangan kualiti udara; rakaman tunjuk petugas membersihkan cecair hitam.

Agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) itu memaklumkan pihaknya menerima beberapa laporan mengenai hujan yang bercampur bahan minyak sejak beberapa hari lalu.

Menurut jurucakap WHO, Christian Lindmeier, hujan yang turut mengandungi unsur berasid itu berpotensi membahayakan orang ramai.

“Hujan hitam dan hujan berasid yang datang bersamanya sememangnya berbahaya kepada penduduk, terutamanya dari segi masalah pernafasan,” katanya dalam taklimat media di Geneva.

Sehubungan itu, WHO menyokong nasihat pihak berkuasa Iran yang menggesa orang ramai kekal berada di dalam rumah bagi mengurangkan risiko terdedah kepada pencemaran udara.

Terdahulu, ibu negara Iran, Tehran, diselubungi asap hitam tebal pada Isnin selepas sebuah kilang penapisan minyak dilaporkan terkena serangan, sekali gus meningkatkan serangan terhadap kemudahan tenaga domestik negara itu dalam kempen ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel.

WHO yang mempunyai pejabat di Iran turut memaklumkan kebimbangan serius terhadap kualiti udara susulan kebakaran di beberapa kemudahan simpanan dan penapisan minyak.

Sementara itu, satu rakaman video yang dihantar kepada Reuters oleh seorang kakitangan WHO menunjukkan seorang lagi petugas membersihkan cecair hitam di pintu masuk pejabat organisasi itu di Tehran pada 8 Mac.-REUTERS