
ISTANBUL, 8 April – White House pada Selasa menafikan laporan bahawa Amerika Syarikat (AS) sedang mempertimbangkan penggunaan senjata nuklear terhadap Iran, sambil menolak dakwaan bahawa kenyataan Naib Presiden JD Vance memberi gambaran sedemikian, lapor Anadolu Ajansi.
- Akaun White House Rapid Response menegaskan tiada kenyataan Naib Presiden yang menggambarkan pertimbangan penggunaan senjata nuklear.
- Naib Presiden JD Vance memberi amaran bahawa AS mempunyai beberapa pilihan belum diputuskan untuk digunakan terhadap Iran.
- Donald Trump mengugut "seluruh tamadun akan musnah malam ini", kenyataan mencetuskan spekulasi menjelang tarikh akhir terhadap Iran.
“Tiada langsung kenyataan @VP di sini yang membayangkan perkara itu,” menurut hantaran akaun White House Rapid Response di platform media sosial X.
Penafian itu dibuat selepas Vance memberi amaran kepada Iran bahawa AS mempunyai “beberapa pilihan yang setakat ini belum kami putuskan untuk digunakan” sambil menyatakan Presiden AS Donald Trump akan menggunakannya jika Tehran tidak mengubah haluan.
Trump sebelum ini memberi amaran bahawa “seluruh tamadun akan musnah malam ini, tidak akan dapat dikembalikan lagi” — kenyataan yang mencetuskan spekulasi ketika tarikh akhir beliau pada pukul 8 malam Waktu Timur (0000 GMT Rabu) untuk Iran semakin hampir.- BERNAMA