
WASHINGTON, 8 April – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump bersetuju menggantung pengeboman ke atas Iran selama dua minggu sebagai sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata, jika Tehran membuka semula sepenuhnya Selat Hormuz.
- Trump berkata Amerika telah mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan serta hampir mencapai perjanjian muktamad mengenai keamanan jangka panjang dengan Iran.
- Amerika menerima cadangan 10 perkara daripada Iran yang dianggap asas boleh dilaksanakan untuk rundingan.
- Pakistan mengemukakan cadangan saat akhir untuk mengelakkan serangan besar, dan Trump memberi amaran seluruh tamadun akan musnah jika tiada perjanjian.
Dalam kenyataan yang dimuat naik di platform Truth Social, Trump berkata, penangguhan serangan itu bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan Iran untuk membuka sepenuhnya laluan penting itu dengan serta-merta dan selamat.
“Ini akan menjadi gencatan senjata dua hala!.
“Sebab untuk berbuat demikian adalah kerana kami telah mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan dan kini berada sangat hampir dengan satu perjanjian muktamad mengenai keamanan jangka panjang dengan Iran, serta keamanan di Asia Barat,” kata Trump.
Beliau juga berkata, Amerika telah menerima cadangan 10 perkara daripada Iran dan percaya ia merupakan asas yang boleh dilaksanakan untuk rundingan.
Pengumuman tersebut dibuat selepas Pakistan mengemukakan cadangan saat akhir untuk mengelakkan serangan besar-besaran Amerika ke atas Iran, dengan Trump memberi amaran seluruh tamadun akan musnah malam ini, sekiranya tiada perjanjian dicapai.
“Hampir semua perkara yang menjadi pertikaian sebelum ini antara Amerika Syarikat dengan Iran telah dipersetujui, namun tempoh dua minggu akan membolehkan perjanjian dimuktamadkan dan dilaksanakan,” tambah Trump. -AFP